JOHOR BAHRU - Penduduk Kampung Dato’ Hajjah Hasnah Ahmad di sini, mahu satu perbincangan diadakan bersama pihak pejabat tanah termasuk pihak kerajaan negeri bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu penduduk yang diarahkan berpindah dan mengosongkan rumah masing-masing bagi memberikan laluan kepada projek pembangunan yang akan dijalankan di situ kelak.
Untuk rekod, penduduk kampung di situ telah pun mengadakan satu sidang media 27 Jun lalu berhubung perkara berkenaan, tetapi menurut mereka setelah seminggu berlalu, masih tidak ada apa-apa respon yang diterima berhubung isu yang dibangkitkan.
Tinjauan Sinar Harian ke kampung berkenaan pada Rabu mendapati penduduk di situ juga tidak mahu perbincangan berkenaan dihadiri oleh wakil daripada pihak-pihak berkaitan, tetapi perlu dihadiri sendiri oleh pihak pengarah, pengurus besar termasuk Menteri Besar sendiri untuk berbincang dan sekali gus menyelesaikan permasalahan tersebut.
Menurut seorang penduduk, Rahmad Dahman, 70, isu di kampung berkenaan sebenarnya masih belum selesai selagi perbincangan berkenaan belum diadakan.
Rahmad yang juga merupakan imam bagi surau Darul Abad di kampung berkenaan berkata, penduduk kampung di situ mahu mendengar sendiri jawapan daripada pihak berwajib berhubung permasalahan berkenaan.
"Isu kampung ni belum selesai... kita pun ada buat sidang media dan kita nak feedback daripada Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG), termasuklah daripada Menteri Besar. Kita nak jawapan terus daripada dia (Menteri Besar).
"Kena selesaikan... ini isu rakyat, takkanlah benda sedikit, sebahagian kecil tanah milik kerajaan beberapa ekar sahaja, takkan tak boleh bagi rakyat yang dah duduk (tinggal) berpuluh tahun dah ada TOL (Lesen Pendudukan Sementara) pun.
"Sekarang macam nak kiamat pulak.. orang yang paling ada kuasa besar sekarang adalah Menteri Besar, cuba jumpa kami di sini. Kami bukan nak lawan kerajaan, nak bincang secara baik-baik, bukan dipaksa kena pindah,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Zakaria Abd Rashid, 39, berkata, sehingga kini tidak ada perjumpaaan yang dibuat antara pihak berwajib dan penduduk kampung di situ.
Katanya, perkara berkenaan telah menjadikan penduduk di situ tidak mengetahui apa yang sedang berlaku dan secara tiba-tiba sahaja rumah mereka dirobohkan.
"Roboh rumah tapi tak ada perbincangan dengan penduduk. Kami penduduk berhak bersuara... Kami juga bukannya pendatang, I/C (kad pengenalan pun 01 (Johor).
"Jadi, kerisauan penduduk di sini sebenarnya adalah pada tindakan kerajaan ketika ini.. apakah penduduk nak dihalau (dari kampung), nak disuruh berpindah atau nak bela nasib penduduk?” katanya.
Sementara itu seorang penduduk, Mohd Yatim Ejat, 78 mempersoalkan mengenai status flat yang disediakan kepada penduduk yang dikhabarkan tidak memiliki Sijil Perakuan Kelayakan (CF).
Justeru katanya, perkara tersebut perlu diberikan penjelasan oleh pihak berwajib kepada penduduk dengan segera, terutamanya kepada penduduk yang telah pun berpindah ke flat berkenaan.
"Saya duduk kampung ni dari muda sampai sekarang dah 53 tahun dari kawasan sawah padi paya sampai penuh dengan rumah dan sampai dapat TOL.
"Tapi sekarang timbul pula masalah kita ni dianggap penceroboh dan minta kita keluar dari kampung dan tinggal di rumah flat.
"Saya menolak kerana saya tahu flat itu masih tidak ada CF dan daripada apa yang saya dengar, beberapa kerosakan turut dikesan berlaku seperti dinding retak, sistem kumbahan tak berfunsi dengan baik dan lain-lain perkara,” katanya.