Pura-pura beli rokok sebelum ragut rantai emas

Iklan
Polis sedang mengesan tiga suspek disyaki terlibat dalam kes ragut di Bukit Kemuning pada Selasa.

SHAH ALAM - Polis memburu tiga lelaki yang meragut rantai leher dipakai seorang lelaki warga emas dalam kejadian di Bukit Kemuning di sini pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintenden Ramsay Anak Embol berkata, dalam kejadian pada jam 10.29 pagi, tiga suspek berusia 20 hingga 30an itu menaiki dua buah motosikal telah ke rumah mangsa dengan berpura-pura untuk membeli rokok.

Iklan
Iklan

"Ketika mangsa diminta untuk menukar dengan jenis rokok yang lain, salah seorang suspek meluru ke arah lelaki itu dan meragut rantai emasnya, kemudian melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ramsay berkata, mangsa berusia 67 tahun itu cuba menahan suspek dengan menarik bajunya, namun gagal dan mangsa terjatuh akibat diseret sehingga menyebabkan cedera di lengan, lutut serta kaki.

Iklan
Iklan

"Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Laymand di talian 03-55202222 bagi membantu siasatan," katanya.