KUALA LUMPUR - Tindakan seorang lelaki warga Pakistan menunggang motosikal tanpa lesen untuk menghantar tempahan tudung kepada pelanggan mengundang padah selepas ditahan polis di Jalan Pahang, di sini pada Rabu.
Lelaki berusia 50-an itu ditahan kira-kira jam 3.45 petang oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menerusi Operasi Hormat undang-Undang Jalan Raya.
Hanya mahu dikenali sebagai Hameed, dia dalam perjalanan untuk hantar tempahan tudung di Masjid India, Kuala Lumpur.
"Saya beli motosikal jenis SYM ini daripada rakan yang juga warga Pakistan. Dia sudah pulang ke kampung dan saya beli motosikal ini dengan harga RM1,500," katanya ketika ditemui selepas operasi di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, pemeriksaan polis mendapati warga Pakistan yang mendakwa sudah berada di Malaysia sejak kira-kira tiga tahun lalu tidak mempunyai lesen memandu.
Motosikal itu kemudian disita polis sebelum dibawa ke Balai Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi yang dilaksanakan sejak Isnin lalu itu bertindak mengeluarkan lebih 7,000 saman kepada pengguna jalan raya setakat Rabu.
Jelasnya, kebanyakan saman berkaitan halangan lalu lintas dan lepasi garisan putih di lampu isyarat.
"Trend kita kesan ramai warga asing menunggang motosikal tanpa lesen dan sepanjang tempoh tiga hari ini, ada 36 warga asing ditahan.
"Kebanyakan motosikal ini mereka guna untuk berniaga atau diguna bagi perjalanan ke tempat kerja. Dipercayai motosikal ini disewakan atau dijual oleh warga tempatan," katanya.
Tambahnya, kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Trafik Kuala Lumpur dan ditetapkan untuk hadir ke mahkamah manakala motosikal disita.
"Tindakan diambil di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kita akan panggil pemilik motosikal dan keluarkan saman kepada pemilik, manakala warga asing akan dituduh di mahkamah secepat mungkin," tegasnya.