ALOR SETAR - Dakwaan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir bakal dilantik sebagai Menteri Besar Kedah sekiranya Perikatan Nasional (PN) terus berkuasa di negeri ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal.
Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia sesuatu yang mustahil kerana Pejuang bukan sebahagian daripada PN.
Menurutnya, parti itu tidak diterima untuk menganggotai PN dan pendirian itu secara tidak langsung menafikan ura-ura berkenaan.
"Ada dakwa saya melenting apabila diusulkan perkara itu dalam satu mesyuarat. Mereka kata saya marah pasal Pas nak bagi Mukhriz jadi menteri besar, mana ada tepuk meja apa, semua cerita itu tidak benar,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.
Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, fitnah seumpama itu mula tersebar disebabkan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi kepentingan pihak tertentu.
"Cerita itu mungkin timbul kerana PRN, Mukhriz tidak menganggotai PN pun. Parti Pejuang tidak diterima, jadi tak masuk akal cerita-cerita seperti itu. Bukan tujuan saya nak cetus apa-apa, cuma nak maklum banyaknya fitnah timbul disebabkan PRN," katanya.
Sebelum ini tular di media sosial dakwaan Muhammad Sanusi akan memboikot PRN berikutan terdapat keputusan Pas Pusat akan melantik Mukhriz sebagai Menteri Besar sekiranya PN berjaya menawan Kedah selepas PRN.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN mengakui beliau menerima ‘serangan' tanpa henti sejak akhir-akhir ini terutama di media sosial yang menggunakan akaun palsu.
"Ada dakwaan lain kata saya bergaduh dengan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Exco), saya tak gaduh dengan orang, seorang pun saya tidak pernah bergaduh, ini bukti berita itu tidak benar.
"Selepas itu saya dikatakan meninggalkan sebuah mesyuarat kelmarin, saya nak maklumkan tak ada mesyuarat parti pun, mesyuarat terakhir minggu pertama Jun dan akan datang pada Ogos di Terengganu,” jelasnya.
Menurutnya lagi, semua parti politik diharap dapat berkempen secara sihat dengan menggunakan fakta, bukannya fitnah.
"Kebiasaan kempen bermula selepas penamaan calon tetapi nampaknya rancak sehari dua ni di Kedah, serangan bertali arus terhadap saya dan ada maklumat yang disebar di media sosial tidak benar.
"Jangan mulakan kempen dengan fitnah, propaganda, adu domba sebab tidak mendatangkan suasana politik sihat.
"Kalau bawa konsep madani, ertinya tamadun, bercakaplah benda yang benar untuk pimpin manusia ke hadapan, bukan mengheret ke belakang. Perkara palsu, fitnah itu tidak bertamadun dan tak wajar dibawa dalam kempen pilihan raya,” jelasnya.