'Undi anda amat berharga'

Iklan
Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub (tengah) mengangkat simbol satu jari bersama yang lain sebagai simbolik bersama-sama menolak rasuah.

SHAH ALAM - Para pengundi yang akan memilih pada pilihan raya negeri (PRN) nanti, diseru supaya memilih calon bersih dan mempunyai integriti tinggi.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, nilai undi setiap pengundi sangat bernilai kerana ia akan menjadi penentu kepada kesejahteraan negara kelak.

Iklan
Iklan

Justeru, beliau berharap pengundi tidak termakan dengan cubaan calon untuk 'membeli' mereka dengan tawaran rasuah.

"Amat penting terutama anak muda melihat calon bertanding adalah mereka mempunyai kredibiliti, berprinsip dan mereka yang membawa perjuangan rakyat.

Iklan

"Saya yakin pengundi mempunyai kematangan dalam memilih, cuma harus mempunyai kesedaran berkaitan dengan prinsip dan politik yang bebas daripada rasuah, pastinya kita mahu calon bersih, mereka yang tiada terkait dengan kes rasuah atau dibabitkan mahupun ada perbicaraan di mahkamah, jadi apa sahaja yang terkait dengan rasuah harus ditolak awal-awal,” katanya kepada Rasuah Busters di sini pada Rabu.

Terdahulu, beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub di Kumpulan Karangkraf. Turut hadir Presiden Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Stanley Yong Yew Wei; Bendahari GBM Jusni Yusoff; Exco GBM, SP Nathan; Timbalan Presiden Patriot, Datuk Zulkifli Mohamed; Rakan Komiti Patriot JD Lovrencier dan Kung Boon Chin.

Mohd Izzat Afifi dan Jusni

Iklan

Menurut Mohd Izzat Afifi, undi setiap pengundi amat berharga maka pengundi diharap jangan menggadai prinsip demi kenikmatan yang sementara.

"MBM amat menyokong kempen yang dibawa oleh Rasuah Busters iaitu #jangangadaiprinsip, pilih calon yang bersih dan berintegriti,” tegasnya.

Sementara itu, Bendahari GBM yang juga Timbalan Presiden Ikram, Jusni Yusoff berpandangan yang sama dengan menegaskan sudah sampai masanya pengundi meneliti calon yang bakal dipilih mereka nanti benar-benar bersih dan berintegriti.

"Kita sebagai pengundi kena ingat negara ini kita yang punya, kita yang akan menentukan masa hadapannya, jadi adalah amat penting untuk kita mengundi mereka yang boleh jalankan tanggungjawab dan berfikir demi kebaikan negara.

"Jangan kita pula pilih calon sebab bagi kita RM100, itu yang paling tidak kena dengan prinsip kita,” tegasnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos depan sebagai hari pengundian bagi PRN dan diadakan serentak melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, serta Terengganu.

Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 29 Julai dan 8 Ogos.

ARTIKEL BERKAITAN:

PRN: Hari mengundi 12 Ogos, penamaan calon 29 Julai - SPR

PRN telan kos RM420 juta - SPR