TEMERLOH - Sudah jatuh ditimpa tangga. Seorang ibu tunggal, Salliza Yaacob, 47, di Taman Seri Chatin dekat Mentakab di sini berdepan dugaan berganda apabila ditimpa kemalangan kemudian kehilangan kedai akibat kebakaran yang selama ini menjadi sumber rezeki buat keluarganya.
Ibu kepada empat cahaya mata berusia 25 hingga 13 tahun itu kini terlantar akibat kemalangan jalan raya pada 27 Mac lalu menyebabkan paha dan betis kirinya patah.
Kejadian itu menyebabkan dia terlantar selama dua bulan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) sebelum dibenarkan pulang ke rumah.
Dan menambahkan kesukaran buat Salliza lagi, kedai makanan dan minuman yang diusahakan sejak 2012 musnah akibat kebakaran pada 15 Jun lalu.
"Memang buntu dibuatnya, dengan keadaan saya begini, kemudian kedai pula terbakar, hilang sumber pendapatan kami anak beranak.
"Namun saya anggap ia sebagai ujian dan reda, mungkin ada rezeki lebih baik akan datang," kata Salliza kepada Sinar Harian.
Ujar dia lagi, dalam situasi tersebut, dia bersyukur kerana dua anak, Mohd Nur Shameer Mohd Norisham, 17 dan Nur Qaseh Mohd Norisham, 13 yang tinggal bersama banyak membantu menguruskan dirinya selain anak sulungnya, Mohd Nur Aliff,25 yang kini tinggal sementara waktu bersama mereka.
"Kadang kesian,sedih, dua anak masih bersekolah, sebelum pergi dan balik sekolah sibuk uruskan saya tapi syukur mereka sangat matang serta banyak membantu.
"Saya sangat berharap cepat pulih dan dapat kembali berniaga, cuma nak cari modal niaga beli barang-barang kedai yang musnah akibat kebakaran baru-baru ini," tambah dia memerlukan kira-kira RM3,000 bagi tujuan tersebut.
Jelas Salliza, buat masa ini dia ada menerima bantuan bulanan sebanyak RM200 daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM150 sebulan seorang untuk dua anaknya yang masih bersekolah.
"Perit juga dibuatnya dengan sewa rumah RM500 sebulan, dua anak lain ada membantu tapi mereka pun ada tanggungjawab lain," jelas wanita tersebut.
Sementara itu, Nur Qaseh yang juga pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Hwa Lian memberitahu, dia berusaha sebaik mungkin untuk menguruskan ibunya selain dengan bantuan abangnya, Shameer walaupun mengakui bimbang setiap kali di sekolah memikirkan nasib ibu mereka.
"Penat memang ada tapi demi ibu tersayang, saya sanggup buat apa saja dan syukur ada jiran baik yang banyak membantu kami," ujar Nur Qaseh yang berhasrat menjadi seorang pegawai polis.
Bagi mereka yang ingin mengurangkan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke dalam akaun Maybank (156020475619) atas nama Salliza binti Yaacob.