KETUA Pegawai Operasi (COO) Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023, Emir Abdul Jalal tetap bersikap positif mahu memastikan penganjuran edisi ke-27 tahun ini berlangsung penuh gemilang.
Di sebalik peruntukan RM8 juta bagi menganjurkan LTdL kali ini, Emir optimis mampu meletakkan perlumbaan jelajah berbasikal terulung Asia itu dalam kelas tersendiri - sesuai dengan status Pro Series.
"Saya selalu positif. Kita pernah ada rekod (kerana) dulu pun saya bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dalam menganjurkan perlumbaan LTdL.
"Kita ada formula dan resipinya untuk menjayakan (LTdL) dalam masa singkat. Pada awal Jun, kami dan mula kerja dan Julai kami sudah melancarkan (LTdL 2023).
"Maksudnya dari awal Jun sehingga sekarang, kami terus bekerja. Kita cuba dapatkan semua dan kita diperkuat dengan tema yang kuat (Beat the Heat),” katanya kepada pemberita pada Selasa.
Terdahulu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selaku pemilik LTdL kembali memberikan tanggungjawab kepada MSN untuk menganjurkan edisi tahun ini.
Untuk rekod, MSN pernah dipertanggungjawabkan menguruskan LTdL dari 2012 hingga 2014 sebelum ‘bertukar tangan’ kepada dua syarikat swasta.
Ketika berada di bawah ‘jagaan’ MSN, LTdL menerima pengiktirafan anugerah Excellence Level of Organisation oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) sehingga menarik enam pasukan ProTeam pada 2014.
Emir juga pernah menguruskan perlumbaan dari tahun 2016 hingga 2018 di bawah syarikat Ciclista Sports Sdn Bhd sebelum tugas berkenaan diambil Human Voyage (HV) Sdn Bhd mulai 2019 hingga 2022.
"Sasaran seterusnya adalah mendapatkan penaja sebab bajet (RM8 juta) yang diberikan agak kecil. Dengan bajet yang ada memang tak cukup tetapi kita kena realistik.
"Insya-ALLAH jika ada tambahan penajaan, kita boleh buat lebih baik dan gemilang seperti mana penganjuran LTdL sebelum ini,” jelas Emir yang berpengalaman luas dalam dunia berbasikal.
ARTIKEL BERKAITAN: