"SAYA amalkan zikir Bismillahilladzi laa yadhurru ma'asmihi syai'un fil ardhi wa la fis samaa'i wahuwas sami'ul alim,"
Itu reaksi penjaga gol skuad Johor Darul Ta'zim (JDT), Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, ketika menjawab soalan daripada peminat pada sesi meet and greet sempena pelancaran $JDT Fan Tokken di Johor Bahru, pada Rabu.
Menurut pemain berusia 27 tahun itu, zikir itu telah lama amalkannya bagi memastikan keselamatan pasukan.
"Saya memang amalkan zikir ini supaya pasukan (pemain), dilindungi (di sepanjang perlawanan).
"Sebenarnya ramai yang bertanyakan mengenai perkara ini dan malam ni saya beritahu," katanya.
Ahmad Syihan berkata demikian bagi mengulas aksinya di depan pintu gol setiap kali sebelum perlawanan bermula.
Sementara itu, ketika di tanya mengenai kesediaannya jika ditawarkan sebagai pemain naturalisasi negara, penyerang sensasi skuad Harimau Selatan, Bergson Da Silva menegaskan dia akan sentiasa cuba memberikan yang terbaik ketika beraksi.
Malah Bergson berkata, dia gembira berada di negara ini dan beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).
"Saya gembira berada di sini, di Johor. Saya gembira dengan suasana serta sokongan peminat yang tidak berbelah bahagi.
"Oleh itu, saya akan cuba memberikan yang terbaik," katanya.