PUTRAJAYA - [KEMAS KINI] BN akan membincangkan keputusan MCA dan MIC untuk tidak bertanding pada pilihan raya enam negeri.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu dibincangkan di dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Isnin depan.
"Saya menghormati keputusan yang dibuat oleh kedua-dua parti tersebut namun kita akan bincang pada 10 Julai nanti," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini pada Khamis.
Pada Rabu, MCA dan MIC mengumumkan untuk tidak bertanding di dalam PRN meskipun Ahmad Zahid sebelum ini memberi jaminan semua parti komponen diberikan kerusi.
"Sebenarnya kita sudah menetapkan bahawa MCA dan MIC ada kerusi, kalau mereka tidak mahu, kita akan ambil," katanya.
Dalam pada itu Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menepis tanggapan umum bahawa MCA dan MIC mempunyai masalah hubungan di dalam BN.
"Tiada masalah. Mereka akan tetap turun berkempen, cuma tidak bertanding," katanya.
Ditanya adakah keputusan MCA dan MIC untuk tidak bertanding sebagai boikot, beliau berkata, kedua-dua parti itu mempunyai alasan tersendiri.
"Saya lebih menghormati keputusan itu daripada melakukan pelbagai spekulasi yang kita tidak tahu tetapi lebih elok kita berbincang pada 10 Julai nanti," katanya.
Terdahulu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan secara serentak pada 12 Ogos dan 29 Julai sebagai tarikh penamaan calon serta pengundian awal pada 8 Ogos.