SHAH ALAM - Majikan disarankan melihat pendidikan atau latihan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) sebagai satu bentuk pelaburan serta bukan perbelanjaan.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, dalam ekonomi global, isu OSH adalah antara penentu utama kepada daya saing syarikat melalui peningkatan produktiviti dan kecekapan.
Menurutnya, isu memelihara dan mengekalkan pekerja adalah paling kritikal serta pengurusan perlu melihat kakitangan dengan lebih teliti selain aktif menunjukkan penghargaan terhadap mereka.
"Dasar OSH bertanggungjawab dan disokong organisasi serta sistem yang diperlukan untuk melaksanakan program pencegahan kemalangan ini.
Ujar beliau, terdapat beberapa industri yang tidak mahu melabur dalam keselamatan dan kesihatan di tempat kerja atas alasan faktor kos.
"Mereka tidak menyedari sekiranya berlaku kemalangan atau kematian akibat tidak menghiraukannya, kos yang perlu ditanggung adalah lebih berat,” katanya.
Tambahnya, bukti menunjukkan peningkatan dalam produktiviti adalah hasil daripada amalan mahupun budaya keselamatan dan kesihatan yang baik.
"Organisasi memainkan peranan penting dalam membentuk budaya keselamatan pekerjanya.
"Keselamatan perlu dihayati dan diamalkan oleh peringkat pengurusan tertinggi, membangunkan budaya amanah dan menggalakkan pekerja mengubah sikap, tingkah laku dan persepsi negatif mereka terhadap keselamatan,” kata beliau.
Tegasnya, kedua-dua majikan dan pekerja wajib bekerjasama memupuk sikap positif terhadap keselamatan serta mencari langkah pemerkasaan untuk mencabar tindak tanduk yang tidak selamat terhadap orang lain.