Malaysia perlu berubah ke arah e-voting

Iklan
Mohd Sharkar

KUANTAN - Sudah sampai masanya negara melakukan pembaharuan segera dalam sistem pilihan raya dengan melaksanakan proses mengundi secara elektronik atau secara dalam talian (e-voting).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, e-voting sudah dilaksanakan di beberapa buah negara lebih 20 tahun lalu antaranya Australia, Belgium, Brazil, Estonia, Perancis, Jerman, India, Itali, Namibia, Belanda, Norway, Peru dan Switzerland.

Iklan
Iklan

"Apabila kita bercakap tentang sistem secara dalam talian ini, saya percaya majoriti rakyat sudah dibiasakan melakukan semua benda secara dalam talian seperti membayar bil utiliti, memperbaharui insurans kenderaan, membayar saman, membeli-belah, melakukan urusan perbankan dan membayar zakat fitrah kesemuanya di hujung jari.

"Jadi untuk melaksanakan proses pembuangan undi secara dalam talian pun bukanlah suatu yang mustahil. Jika selama ini kita percaya dengan keselamatan transaksi perbankan secara dalam talian melibatkan ribuan ringgit, mengapa kita tidak boleh mempunyai sistem yang selamat untuk menghantar satu undi dari satu rakyat ketika pilihan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohd Sharkar berkata, tidak menjadi halangan besar untuk negara melaksanakan proses mengundi secara e-voting menerusi kewujudan pelbagai jenis teknologi moden pada masa kini termasuk capaian internet isi rumah yang meningkat kepada 96 peratus pada 2022 menerusi kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Beliau berkata, melalui e-voting, proses pengundian akan menjadi lebih fleksibel terutama pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Iklan

"Pengundi boleh mengundi di mana sahaja mereka berada kerana sistem pengundian sekarang memakan banyak perbelanjaan, tenaga dan masa serta komitmen tambahan.

Beliau berkata, negara tidak boleh berterusan melaksanakan proses undi mengikut cara lama dengan bersusah payah pergi ke tempat mengundi, beratur panjang menunggu giliran demi menunaikan tanggungjawab kepada negara.

"Biarpun terdapat banyak perbahasan tentang tahap keberkesanan proses mengundi secara e-voting, namun ia boleh membawa banyak faedah dan manfaat kepada negara dan rakyat.

"Ia antara lain mengurangkan jumlah kesilapan atau kerosakan yang berlaku pada kertas undi, selain dapat meningkatkan jumlah pengundi kerana ia boleh dilakukan di mana-mana lokasi," katanya.

Beliau berkata, kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melakukan kajian mendalam terhadap cadangan ini bagi membolehkan proses mengundi secara e-voting dapat dilaksanakan pada PRU16 akan datang.