MELAKA - Sekolah di negeri ini terutama sekolah berasrama diingatkan bersikap telus dengan tidak menyorok sebarang kejadian buli yang berlaku melibatkan pelajar.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman berkata, ini dikhuatiri mengakibatkan impak lebih buruk dan seterusnya mangsa mahupun pelaku akan terbabit dalam kes jenayah lebih besar.
Menurutnya, pihak sekolah termasuk pengetua perlu sentiasa memantau pelajar-pelajar terutama pelajar junior yang ada kemungkinan dilakukan semasa sesi orientasi namun tidak berkesudahan.
"Kesinambungan tanggungjawab ibu bapa untuk tanya anak-anak keadaan di sekolah, bagaimana keselesaan, layanan, kawan-kawan, kaedah pembelajaran dan kehidupan di sekolah kena tanya untuk dapatkan info awal," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Perhimpunan Agensi Agama Negeri di Auditorium Masjid Al- Azim, Bukit Palah di sini, pada Khamis.
Rahmad diminta mengulas dakwaan bapa remaja lelaki berusia 14 tahun yang dipercayai mencekik adiknya sehingga maut pada Rabu disebabkan suspek pernah menjadi mangsa buli di asrama.
Sinar Harian sebelum itu melaporkan Najli Yakob, 42, berkata, mangsa Muhammad Haziq Damiri Najli, 9, sememangnya rapat dengan abang sulungnya, namun kelakuan remaja terbabit berubah selepas didakwa menjadi mangsa buli di asrama sejak tahun lalu.
Dia yang bekerja sebagai tukang urut, mendakwa anaknya sebelum ini pernah memberitahu dibuli dan percaya kesan perbuatan tersebut telah menyebabkan dia mengalami trauma hinggakan sering meracau.
Remaja lelaki terbabit ditahan reman selama tujuh hari bermula Khamis hingga 12 Julai ini untuk membantu siasatan.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nurul Asyikin Rosli di Mahkamah Majistret Melaka.
ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak 9 tahun maut dicekik abang
Adik maut dicekik: Abang mangsa buli di asrama
Remaja cekik adik, tidak ada masalah disiplin - Polis