JOHOR BAHRU - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak menolak kemungkinan berlaku peningkatan hampir 1,000 projek perumahan 'sakit' di seluruh negara sehingga akhir tahun.
Timbalannya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, peningkatan tersebut berlaku disebabkan Akta Covid yang memberi pengecualian 'extension of time' (EOT) kepada pemaju pada tempoh pandemik Covid-19 yang lalu sudah berakhir.
"Kita jangkakan (projek sakit) akan berlaku peningkatan secara mendadak susulan pasca Covid-19 yang mana apabila EOT berakhir awal tahun ini.
"Melihat unjuran yang dibuat setiap bulan, kita lihat ada anggaran (projek) yang masih 'sihat' mungkin akan jatuh sakit.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja di Residensi Larkin Indah di sini pada Khamis.
Menurut Akmal Nasrullah, sehingga 30 April lalu, sebanyak 481 projek perumahan di seluruh negara dikategorikan sebagai projek sakit dengan 118 daripada jumlah itu dalam usaha untuk diselesaikan.
Katanya, di Johor, sebanyak 52 projek sakit dikenal pasti setakat ini dan lapan projek terbengkalai dikesan.
Pada masa sama, Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, pihaknya berharap usaha kementerian menyelesaikan masalah projek sakit mendapat kerjasama dan penglibatan kerajaan negeri.
"Ada negeri yang sudah ada 'task force' seperti Johor, Negeri Sembilan dan Selangor, kementerian akan pantau, urusan kelulusan atau tanah dan sebagainya itu semua di peringkat negeri.
"Contoh di Kelantan, apabila ditinjau projek sakit di sana, kementerian mendapat kerjasama dan penglibatan kerajaan negeri dan mereka setuju untuk wujudkan 'task force'," katanya.