KOTA BHARU - Program pemulihan pesalah di luar penjara yang dijalankan Jabatan Penjara Malaysia dilihat berhasil mengatasi masalah kesesakan dalam sel apabila 39,000 banduan memperoleh manfaat daripada langkah itu.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam negeri, Datuk Jamil Rakon berkata, program pemulihan bersama komuniti itu membabitkan sistem parol, perintah kehadiran wajib (PKW) dan Program Re-Intergrasi Penghuni yang masih lagi perlu diperluaskan.
"Menyentuh aspek reintegrasi, program pemulihan akan terus diperkasa bagi membolehkan penghuni penjara menyesuaikan diri lebih awal bersama masyarakat. Program ini memudahkan mereka kembali berperanan sebagai insan yang berguna dalam masyarakat.
"Secara tidak langsung mengatasi masalah kesesakan dalam penjara dengan seramai 39,000 banduan menerima manfaat program pemulihan di luar tembok penjara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 Zon Timur Jabatan Penjara Malaysia membabitkan seramai 198 pegawai dan kakitangan penjara di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar dan Komisioner Penjara, Ariffin Mohd Noor.
Menurutnya, program pemulihan di luar penjara memberi impak besar terhadap pemulihan orang diparol (ODP) itu turut membabitkan kerjasama swasta menerusi 'corporate smart internship' (CSI).
"Terdapat 44 syarikat swasta di 12 negeri melibatkan 2,005 ODP mengikuti program ini sejak pelaksanaannya pada tahun 2016.
"Langkah ini terbukti dengan kejayaan 35 orang diselia (ODS) membabitkan sebuah syarikat swasta di Sungai Petani (Kedah),” katanya.
Dalam pada itu, Jamil berkata, pihaknya juga akan menambah kelas pembelajaran banduan dan memastikan kesesuaian program pemulihan berdasarkan tempoh pemenjaraan seseorang pesalah.
"Ini antara usaha mempertingkatkan lagi keberkesanan program pemulihan penghuni dengan melatih lebih ramai tenaga pengajar.
"Selain itu, profesionalisme kakitangan juga akan dipertingkatkan menerusi pembelajaran berterusan, pengkhususan koreksional serta usaha berterusan meningkatkan skim gaji, elaun pegawai dan kakitangan penjara setaraf dengan agensi beruniform lain," katanya.