SHAH ALAM - Negara-negara Islam yang besar perlu mengambil langkah agresif dan bersatu memutuskan hubungan dengan Israel serta memberikan tekanan politik kepada mereka.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, di Timur Tengah sendiri, banyak negara-negara Islam menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel, khususnya negara Teluk yang kaya dengan hasil minyak seperti UAE dan Bahrain.
Katanya, Mesir dan Jordan mempunyai sempadan yang panjang dengan Israel telah lama mengiktiraf negara haram tersebut manakala Morocco serta Turki menjadi antara negara terawal mengiktiraf Israel sejak tahun 1952 lagi.
"Hal inilah yang menyebabkan Israel selesa untuk terus menzalimi dan meratah tanah-tanah penduduk Palestin. Mereka mendapat kerjasama negara-negara Islam yang menjalinkan hubungan diplomatik, khususnya hubungan dagang semakin meningkat dengan negara tersebut.
"Ia sesuatu yang janggal kerana negara-negara Islam yang mengiktiraf Israel ini adalah kaya dan mempunyai kekuatan ketenteraan tersendiri. Mereka sebenarnya tidak memerlukan sebarang pergantungan ekonomi dengan Israel," jelasnya menerusi laman Facebook pada Khamis.
Tambah Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, negara-negara kiri dilihat lebih ke depan dalam membela nasib umat Palestin.
"Misalnya China, negara itu menyatakan dengan jelas di sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk rampasan tanah dan pembinaan penempatan haram Israel di Tebing Barat.
"Begitu juga dengan Cuba dan Venezuela yang turut menolak kerjasama dengan Israel," jelasnya.
Menurut beliau, bagaimanapun situasi terkini di Palestin telah memberi harapan baharu kepada perjuangan pembebasan tersebut.
"Rakyat Palestin yang terdiri daripada pelbagai kelompok dan kumpulan, termasuk yang menetap di kawasan yang dikawal Israel semakin bersatu padu menentang penjajahan.
"Mereka tidak boleh lagi mengharapkan dunia luar khususnya negara-negara jiran di kalangan negara Arab. Saya yakin, kemenangan berupa pembebasan Palestin yang dijajah sejak sekian lama akan berlaku dalam masa terdekat," jelasnya.