Kon Yeow harap ahli MCA, MIC beri sokongan kepada calon PH-BN

Iklan
Chow Kon Yeow - Foto Bernama

GEORGE TOWN - Ahli dan para penyokong MCA dan MIC di Pulau Pinang diharap dapat terus memberi sokongan kepada calon gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, sokongan itu penting bagi membolehkan gabungan parti Kerajaan Perpaduan berkenaan terus kekal mentadbir negeri ini, walaupun MCA dan MIC mengumumkan untuk tidak bertanding pada PRN nanti.

Iklan
Iklan

"Saya percaya keputusan yang dibuat oleh MCA dan MIC itu dilakukan selepas meneliti dan mengkaji keadaan politik terkini khususnya pencapaian mereka dalam pilihan raya sebelum ini.

''Kita memang memahami keadaan ini bukan dalam kalangan MCA atau MIC sahaja, UMNO sendiri pun ada kerusi untuk dipertandingkan tetapi keputusan untuk bekerjasama di bawah payung perpaduan ini perlu dihayati dan diterima oleh semua ahli dalam gabungan berkenaan.

Iklan

"Adakah kita mahu gabungan perpaduan ini mencapai kemenangan atau tidak, kalau jawapannya adalah ya, maka apa-apa yang menjadi halangan perlu diketepikan demi memastikan kemenangan gabungan perpaduan dalam PRN nanti,'' katanya mengulas mengenai pengumuman kedua-dua parti komponen BN itu semalam.

Kon Yeow berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyaksikan majlis penganugerahan sijil Malaysia Book of Records Galeri Haji Pulau Pinang di Lebuh Acheh di sini hari ini, yang menerima pengiktirafan sebagai galeri haji pertama di Malaysia.

Iklan

Pada Rabu, MCA dan MIC mengumumkan tidak akan bertanding pada PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu yang ditetapkan pada 12 Ogos sebagai hari pengundian, bagi menumpukan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, walaupun MCA dan MIC tidak bertanding dalam PRN nanti, pimpinan parti itu telah menyuarakan kesungguhan mereka untuk sama-sama membantu kempen PH-BN bagi memastikan kemenangan gabungan itu di enam negeri.

''Isu sama ada undi masing-masing boleh dipindah menjadi satu pertimbangan penting semua ahli parti (MCA dan MIC) bagi memastikan kemenangan calon PH-BN,'' katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, manifesto PH-BN bagi Pulau Pinang untuk menghadapi PRN berkemungkinan diumumkan pada minggu terakhir sebelum hari penamaan calon 29 Julai ini. - Bernama