Tambah baik program MM2H agar tidak membebankan - Sultan Johor

Iklan
Sultan Ibrahim menerima menghadap King Sing di Istana Bukit Serene Johor Bahru pada Khamis. - Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) perlu ditambah baik dari segi dasar, insentif dan manfaat supaya ia tidak membebankan.

Baginda bertitah, penambahbaikan itu penting untuk menjadikan Malaysia sebagai antara destinasi pilihan utama.

Iklan
Iklan

Sebelum itu, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing pada Khamis.

Pertemuan di Istana Bukit Serene itu berlangsung selama hampir dua jam.

Iklan

Dalam pada itu King Sing berkata, pada sesi menghadap itu Sultan Ibrahim berkongsi serta menyampaikan pelbagai pandangan dan buah fikiran mengenai MM2H

Beliau berkata, pandangan-pandangan dan idea yang diberikan Sultan Ibrahim mengenai MM2H amat baik di mana ia juga penting bagi merancakkan sektor pelancongan Malaysia.

Iklan

"Pada pertemuan bersama Sultan Ibrahim, baginda telah memberikan banyak idea baik dan saya yakin idea-idea ini boleh dilaksanakan sekali gus merancakkan ekonomi pelancongan kita.

"Saya akan berbincang bersama Kementerian Dalam Negeri serta pemain-pemain industri berhubung penambahbaikan MM2H serta pandangan dan nasihat yang disampaikan oleh baginda,” katanya.

King Sing memberitahu, segala perkara yang dibincangkan akan dibawa sebagai kertas cadangan kepada kabinet pada bulan hadapan.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K Raven dan ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultanah Fatimah, Tan Sri Datuk Tan Seng Leong.

Pada Ogos 2021, Sultan Ibrahim bertitah agar kerajaan mengkaji semula pelaksanaan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bagi mencapai keseimbangan positif terhadap kemasukan pelabur serta pertumbuhan ekonomi negara.

Baginda bertitah, kajian perlu dibuat kerana program MM2H yang kembali dilaksanakan dengan beberapa syarat baharu kepada peserta program dilihat terlalu ketat.

Sejak program MM2H dimulakan pada tahun 2002, seramai 57,478 warga asing diberikan pas jangka panjang sebelum program itu dihentikan pada September 2018 untuk dikaji semula dengan syarat-syarat baharu diperkenalkan.

Di bawah syarat baharu, peserta perlu mempunyai pendapatan sebanyak RM40,000 sebulan berbanding RM10,000 sebelum ini, pemilikan akaun simpanan RM1 juta selain peserta juga perlu pengisytiharan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta.

Selain itu, kadar fi pas daripada RM90 dinaikkan kepada RM500 setahun dan fi proses pula sebanyak RM5,000 bagi prinsipal serta RM2,500 bagi setiap tanggungan.