Demi kasih, abang sanggup tunggu, bantu cari adik

Iklan
Shahrizal

KEMAMAN - Demi kasih terhadap adiknya, seorang abang sanggup bersama-sama mengikuti pasukan penyelamat dalam usaha pencarian Muhammad Fikri Saliman, 24, yang masih hilang akibat tragedi Jeram Air Putih, Kampung Air Putih, di sini.

Shahrizal Saliman, 40, berkata, dia yang berada di sini sejak Selasa lalu masih kekal positif selain mendoakan supaya Muhammad Fikri berjaya ditemukan meskipun tidak mendapat sebarang petunjuk berhubung keberadaan adiknya itu.

Iklan
Iklan

"Saya memang berharap adik saya dijumpai sebab itulah saya masih ada di sini untuk menanti perkembangan terbaharu dan terkini mengenai dia.

"Apa-apa situasi yang berlaku pun saya akan terima selain menunggu dengan harapan yang masih lagi tebal dan kuat. Insya-ALLAH kalau ada rezeki saya dipertemukan dengan dia, saya sangat bersyukur.

Iklan

"Apa-apa pertemuan sama ada hidup dan mati. Sekurang-kurangnya saya dapat jumpa adik saya," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

"Selain pendekatan yang ada, saya juga melaungkan azan di lokasi bencana sebagai ikhtiar mencari mangsa yang hilang.

Iklan

"Saya masih berharap dan tetap menunggu adik bongsu saya. Kalau jumpa antara hidup dan mati biarlah saya jumpa jasadnya," ujarnya.

Ahad lalu, sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Pahang dan bakal menantu keluarga tersebut dari Batu Pahat, Johor dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air.

Setakat ini, lapan jasad sekeluarga mangsa tragedi itu telah ditemukan sejak lima hari operasi pencarian dijalankan bermula Ahad lalu.

Jasad Allahyarham Karim dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree Karim,6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4, ditemukan pada Ahad dan Isnin manakala Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, dan adik tirinya, Putri Alleya Maisarah, 16, ditemukan pada Selasa.

Dua lagi mangsa yang masih belum, ditemukan ialah Putri Nur Fatin Karim, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24.