KLANG - Kos rawatan dialisis bagi Orang Berinsurans Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dijangka meningkat lebih RM500 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang, kata Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.
Sivakumar berkata, berdasarkan rekod pihaknya, didapati perkhidmatan rawatan dialisis Perkeso yang dimulakan pada 1999 melibatkan kos berjumlah RM1.12 juta telah meningkat kepada RM334.67 juta pada tahun lalu.
"Untuk tahun ini, sehingga Mei 2023 saya dimaklumkan Perkeso mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM145.3 juta untuk membiayai kemudahan rawatan dialisis dan kos ini dijangka terus meningkat.
"Ini kerana Perkeso menerima antara 2,000 hingga 3,000 permohonan baharu untuk kemudahan dialisis setiap tahun di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pejabat Perkeso Klang dan Pusat Dialisis Perkeso cawangan Klang di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Sivakumar berkata, pihaknya bercadang mewujudkan lebih banyak cawangan Pusat Dialisis Perkeso termasuk di Seberang Jaya, Pulau Pinang; Kuantan, Pahang; Terengganu; Kuala Lumpur; Sabah dan Sarawak bagi meningkatkan kemampanan dana keselamatan sosial pihaknya.
"Dengan adanya pusat dialisis sendiri, Perkeso dapat mengurangkan perbelanjaan untuk kemudahan dialisis yang meningkat saban tahun. Malah, ia juga meringankan beban pesakit kerana pusat ini bukan bermatlamat menjana keuntungan," katanya.
Pada masa yang sama, Sivakumar turut berharap Orang Berinsurans melakukan program saringan kesihatan percuma yang ditawarkan Perkeso bagi pencarum yang berusia 40 hingga 59 tahun dan sehingga kini Perkeso merekodkan sekitar 9.2 juta pencarum seluruh negara.
"Berdasarkan analisis program terhadap 27,152 orang tahun lalu, mendapati 42 peratus pekerja mengalami obesiti, kencing manis (14.1 peratus), darah tinggi (27.9 peratus) dan kolestrol tinggi (61.2 peratus).
"Justeru, kita menyeru pencarum untuk pergi mendapatkan saringan tersebut,” katanya. - Bernama