MESKIPUN umurnya semakin meningkat, pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016, Goh V Shem belum berhasrat untuk bersara daripada arena badminton.
Malah, pemain beregu lelaki berusia 34 tahun itu tekad untuk terus mendorong diri selagi kudratnya mengizinkan beraksi di gelanggang.
"Kalau boleh main dan jika ada penaja saya akan teruskan, lagi pun badminton hobi saya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Kejohanan Kebangsaan 2023 in Juara Stadium, Bukit Kiara, di sini, pada Khamis.
Terdahulu, V Shem yang membentuk gandingan baharu bersama Nur Mohd Azriyn Ayub, disingkirkan pada pusingan kedua oleh Chia Wei Jie-Liew Xun daripada Persatuan Badminton Malaysia, 16-21, 7-21.
Beliau turut mengesahkan tidak lagi bergandingan dengan rakan beregunya Lim Khim Wah namun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
"Kami telah menarik diri daripada Terbuka Korea 2023 (18-23 Julai) dan Terbuka Australia (1-6 Ogos) akan datang,” katanya.
Kali terakhir mereka beraksi bersama adalah bulan lepas apabila beregu itu kecundang pada pusingan pertama Terbuka Taiwan kepada beregu tuan rumah Chen Zhi Ray-Lu Chen, 17-21, 14-21.
Justeru, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu berharap beliau akan segera mendapat rakan beregu yang sesuai sebelum kembali ke gelanggang.
"Susah untuk mendapatkan pasangan beregu terutama dalam kalangan pemain profesional kerana mereka sudah ada pasangan masing-masing,” katanya.
V Shem bersama pasangannya ketika itu Tan Wee Kiong hampir memenangi pingat emas pertama Olimpik buat Malaysia di Brazil, sebelum tumpas kepada beregu China Fu Haifeng-Zhang Nan, 21-16, 11-21, 21-23 di final. - Bernama