PRN: KPT pertimbang pelajar IPT cuti pulang mengundi

Iklan
Mohammad Apdal merasmikan gimik penutupan I-Compex 2023 di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Jitra pada Khamis.

JITRA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan melihat keperluan dan mempertimbangkan cuti kepada pelajar di institut pengajian tinggi (IPT) bagi memberikan ruang untuk mereka pulang mengundi di enam negeri pada pilihan raya negeri (PRN).

Timbalan menterinya, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, ia bagi memastikan semua pelajar di IPT dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada 12 Ogos depan.

Iklan
Iklan

Walaubagaimanapun menurutnya, KPT perlu mengadakan perbincangan dengan kabinet terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

"Kita akan melihat kepada keperluan andainya mungkin hari mengundi itu jatuh pada masa yang sesuai untuk kita bagi cuti, kita akan pertimbangkan. Sekiranya tidak maka kita juga akan cari kaedah untuk memudahkan mahasiswa atau pelajar (pulang) melaksanakan tanggungjawab mereka.

Iklan

"Kita setakat sekarang rasanya belum (lakukan perbincangan) lagi, mungkin tunggu sampai masanya yang rasanya tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan majlis penutup International Innovation and Invention Competition Through Exhibition (I-Compex) 2023 di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, dekat sini.

Iklan

Mohamad Yusof berkata, KPT akan melihat keperluan dan memperincikan perkara tersebut secara menyeluruh.

Pada Rabu, media melaporkan hari pengundian PRN di enam negeri akan dilaksanakan serentak pada 12 Ogos depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut memaklumkan penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai.

PRN melibatkan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).