Tiga ditahan menyamar polis, tipu wang jaminan RM9,000

Iklan
Tiga individu berusia 20-an termasuk seorang wanita ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan menyamar pegawai polis dan meminta wang jaminan daripada keluarga tahanan. - Gambar hiasan.

SEREMBAN - Tiga individu berusia 20-an termasuk seorang wanita ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan menyamar pegawai polis dan meminta wang jaminan daripada keluarga tahanan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, kesemua mereka ditahan di beberapa lokasi di Kuala Lumpur pada Rabu.

Iklan
Iklan

"Ia susulan laporan polis dibuat seorang wanita di Kuala Pilah pada Selasa lalu yang mendakwa seorang anggota polis menemuinya dan menyerahkan nombor telefon untuk dihubungi.

"Mangsa kemudiannya menghubungi nombor yang diberikan dan bercakap dengan seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, mangsa dimaklumkan bahawa suaminya boleh dibebaskan daripada tahanan polis dengan membuat bayaran wang jaminan sebanyak RM9,000 dengan memasukkan ke dalam akaun bank milik seorang wanita.

"Bertindak atas laporan itu tiga suspek ditahan membabitkan seorang wanita berusia 22 tahun dan dua lelaki masing-masing berumur 24 dan 25 tahun.

Iklan

"Turut dirampas tiga telefon bimbit dan tiga kad mesin juruwang automatik (ATM)," katanya.

Selain itu katanya, siasatan awal yang dilakukan mendapati, akaun bank yang digunakan turut terlibat dengan dua lagi kes di Langkawi dengan kerugian RM20,000 dan di Muadzam Shah, Pahang membabitkan kerugian RM5,000 yang menggunakan modus operandi hampir sama.

Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati apabila berurusan dengan mana-mana pihak terutama membabitkan urusan pembayaran.

"Jika perlu membuat sebarang pembayaran, sepatutnya dilakukan ke akaun yang disediakan oleh agensi yang berkenaan, bukannya ke akaun individu," katanya.