PUTRAJAYA - Kerajaan bersetuju untuk menguatkuasakan semula pengisytiharan harta oleh anggota pentadbiran.
Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan memaklumkan perkara itu dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis.
Menurutnya, langkah itu akan dikuatkuasakan setelah format baharu yang lebih komprehensif bagi pelaporan pengisytiharan harta sedia ada ditambah baik.
"Perkara tersebut antara fokus mesyuarat kepada syor penambahbaikan tata kelola yang lebih holistik.
"Langkah ini penting untuk mempertingkat kebertanggungjawaban, ketelusan, kecekapan dan keberkesanan sistem pentadbiran kerajaan," kata pejabat itu.
Ujar Pejabat Perdana Menteri, ekosistem tata kelola baik negara akan diperkukuh melalui Pelan Tadbir Urus Baik Nasional (MyGovernance) sebagai panduan sektor awam berhubung pelaksanaan prinsip-prinsip tadbir urus baik.
"Mesyuarat turut bersetuju supaya Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dibentangkan secara berkala di mesyuarat jemaah menteri untuk tindakan susulan yang segera bermula dengan LKAN tahun 2022 dengan format baharu lebih berstruktur supaya setiap isu dilaporkan dapat diambil tindakan lebih berkesan," kata pejabat itu.
Menurutnya, mesyuarat tersebut turut bersetuju agar peranan JKKMAR diperkasa dan dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN) yang akan dijadikan platform bagi menggalakkan amalan prinsip tata kelola baik.
Amalan prinsip itu katanya diambil kira dalam perancangan dan pembangunan dasar serta pelaksanaan inisiatif dan program oleh semua agensi di sektor awam.
"JKKTN juga diperkasa untuk meneliti isu-isu kelemahan tata kelola melibatkan badan berkanun termasuk Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), subsidiari dan entiti yang mempunyai kepentingan kerajaan.
"Had bilangan lembaga pengarah yang boleh dianggotai oleh seseorang penjawat awam melibatkan badan berkanun, subsidiari dan entiti yang mempunyai kepentingan kerajaan juga akan dikaji semula bagi meningkatkan keberkesanan peranan penjawat awam," katanya.
Dalam pada itu, kerajaan memandang serius isu pengeluaran surat sokongan yang mempunyai unsur rasuah dan salah guna kuasa.
Sehubungan itu, satu garis panduan pengendalian sokongan oleh anggota pentadbiran dalam urusan kerajaan akan dikeluarkan bagi memastikan surat sokongan tidak disalah guna untuk kepentingan peribadi.
"Mesyuarat turut bersetuju secara prinsip dengan cadangan penambahbaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] bagi memastikan saluran aduan yang lebih diyakini dan berkesan.
"Kerajaan komited untuk melaksanakan agenda pemerkasaan tata kelola sebaik mungkin bagi menyokong pembangunan negara dan memastikan setiap usaha Kerajaan adalah bebas daripada sebarang unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa," katanya.