DAKWAAN bahawa pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terbabit rasuah ternyata telah mencalarkan imej jabatan tersebut.
Masalah rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pegawai imigresen juga didakwa telah menjadi budaya.
Justeru, kita mahu isu ini diberikan perhatian serius kerana ia melibatkan aspek keselamatan, kedaulatan dan imej negara.
Ia diakui sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ada segelintir penguasa imigresen di KLIA yang masih mengamalkan sistem dan amalan lama, dipercayai mengandungi unsur rasuah.
Perdana Menteri turut menegaskan, mana-mana pegawai imigresen yang didapati masih mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa perlu dikenakan tindakan tegas dan segera.
Rasuah dalam imigresen boleh memberikan peluang kepada warga asing untuk memasuki negara secara haram atau memperoleh dokumen imigresen dengan cara yang tidak sah.
Untuk mengatasi isu ini, langkah-langkah tegas dan menyeluruh perlu diambil. Perlu ada penguatkuasaan undang-undang yang ketat dan tindakan tegas terhadap individu yang terlibat dalam rasuah dalam imigresen.
Imigresen turut memandang serius tuduhan berat itu dan berjanji tidak akan melindungi mana-mana pegawai serta anggotanya yang disyaki rasuah.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh menegaskan, pihaknya akan mengambil tindakan di peringkat jabatan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
Penggunaan kamera badan itu penting untuk meningkatkan integriti pasukan petugas termasuk meningkatkan pelbagai penugasan dan keselamatan petugas sendiri.
Malah, ramai yang menyokong sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meletakkan pegawai mereka di pintu masuk negara.
Kehadiran pegawai SPRM sama ada secara disedari atau tidak, akan menjadikan mereka lebih berhati-hati dan menjaga integriti sebagai ‘penjaga’ pintu masuk negara.
Keselamatan negara dan integriti institusi imigresen adalah perkara yang tidak boleh dikompromikan.
Imej imigresen perlu dibersihkan segera agar jabatan itu tidak dilabel sebagai pengkhianat negara.