Lontaran idea dan cadangan tajuk daripada mak saudara kepada penulis skrip drama ‘Bahan Api Penerbangan Mampan’ akhirnya membuahkan kejayaan besar.
KUALA LUMPUR - Taruhan naskah ‘Bahan Api Penerbangan Mampan’ oleh kumpulan Drama Llamas dari Sekolah Kebangsaan Setiawangsa, Kuala Lumpur berjaya menambat hati juri apabila dinobatkan sebagai juara bagi Petrosains Science Drama Competition (PSDC) 2023.
Untuk itu, kumpulan tersebut telah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,500, cenderahati berupa barangan Petrosains, plak dan juga sijil penyertaan.
Lebih menarik, kesemua 12 peserta berumur 10 hingga 12 tahun itu akan mewakili Malaysia ke Bangkok, Thailand bagi International Science Drama Competition (ISDC) pada bulan September depan dengan semua perbelanjaan ditanggung oleh Petrosains.
Peserta dari kumpulan Drama Llamas yang juga merangkul persembahan lelaki terbaik, Hassan Ali Rayyan Hirman, 12, berkata, dia dan pasukannya amat berbangga dan gembira dengan kemenangan yang diidam-idamkan itu.
"Kami rasa sangat puas hati dan berbangga. Ini adalah kali pertama sekolah kami menang acara ini. Sememangnya berbaloi dengan segala usaha yang kami lakukan selama ini. Kemenangan ini juga memberi semangat kepada saya untuk aktif dalam bidang (drama) ini.
"Bagi anugerah persembahan terbaik lelaki, saya sebenarnya telah cuba banyak kali dalam masa dua tahun ini untuk mendapat anugerah ini. Akhirnya, di sini (pertandingan ini) saya berjaya. Apa yang saya lakukan selama ini akhirnya berhasil,” katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Penyampaian Hadiah Petrosains Science Drama Competition 2023 pada Selasa.
Hadiah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Sdn Bhd, Ezarisma Azni Mohamad; Pengarah Bahagian Sukan Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Zainuren Mohd Nor dan Pengurus Besar Komunikasi Strategik (Korporat) mewakili Perhubungan Strategik dan Komunikasi Kumpulan Petronas, Halimahton Ahmad.
Dalam masa sama, guru yang juga pengarah dan penulis skrip kumpulan Drama Llamas, Wan Mohamed Faris Wan Yusoff berkata, tajuk tersebut dipilih kerana diinspirasikan oleh emak saudaranya yang sedang melakukan kajian berkenaan bahan api penerbangan mampan di peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD).
Jelasnya, ia diketengahkan bagi memberikan pendedahan kepada orang ramai memandangkan tidak ramai mengetahui isu tersebut yang secara langsung dapat mengurangkan perubahan iklim.
Dari segi latihan pula, dia berkata, tempoh hampir sebulan masa diambil bagi memastikan persembahan dapat disampaikan dengan lancar dan difahami oleh juri dan penonton yang hadir.
"Walaupun isu ini agak berat untuk dipersembahkan oleh pelajar sekolah rendah, namun saya berjaya mempermudahkan bagi menyampaikan kepada peserta (pelajar) berkenaan perkara tersebut. Saya hasilkan jalan cerita yang mesra kanak-kanak.
"Pada awalnya saya tidak percaya yang kami jadi juara. Dalam masa sama, juga sangat teruja untuk mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa pada September ini. Ini yang dinantikan sejak 2019 lagi.
"Sebelum ini kami pernah masuk pertandingan ini pada 2019 dan hanya dapat tempat kedua. Kali ini kami berjaya wakil Malaysia, dan berharap dapat membanggakan negara,” katanya.
Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh kumpulan The Onerz dari Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (1), Kuala Lumpur dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000, barangan Petrosains, plak dan sijil penyertaan.
Peserta dari The Onerz iaitu Sarah Nafeesa Mohamad Azmi pula berjaya dinobatkan sebagai persembahan perempuan terbaik.
Tempat ketiga adalah kumpulan Little Earth Warriors, Sekolah Kebangsaan Convent (1) Bukit Nanas, Kuala Lumpur dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM500, barangan Petrosains, plak dan sijil penyertaan.
Sebanyak 10 pasukan daripada 117 penyertaan telah melayakkan diri ke peringkat akhir dalam pertandingan yang dianjurkan bersama KPM dengan tema ‘Producing Green, Consuming Clean’.
Ezarisma Azni berkata, Petrosains Science Drama Competition adalah satu peluang terbaik bagi pelajar dan guru mempamerkan pengetahuan mereka dalam sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) melalui drama.
Jelasnya, melalui luahan drama, bakat anak cilik akan dapat membangunkan kemahiran 4C, iaitu, pemikiran kritis, kreatif, komunikasi, dan kerja sama.
"Tahun ini, pertandingan ini tertumpu pada mempromosikan kemampanan. Dengan tema Producing Green, Consuming Clean, ia direka untuk mengajak generasi muda kita berfikir tentang cara hidup dan menyumbang secara positif kepada alam sekitar.
"Ia juga merupakan peringatan bahawa tindakan positif kita ini boleh menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan kita serta dunia di sekeliling kita,” ujarnya.
Menurut Zainuren pula, KPM melihat program tersebut adalah sebagai satu peluang
untuk murid memperoleh kemahiran baharu dan mempertingkatkan lagi pemahaman konsep sains melalui seni persembahan.
Tambahnya, aktiviti tersebut juga bersesuaian dengan falsafah KPM iaitu memupuk murid bersepadu dan menyeluruh melalui pendekatan pendidikan yang holistik.
"Mungkin kita akan berjumpa doktor masa depan,saintis, dan pengaturcara yang mempunyai bakat dalam seni persembahan.
"Kami berharap pertandingan ini dapat memupuk dan meningkatkan pemahaman dan penghayatan kepentingan bahasa Inggeris sebagai salah satu bahasa terpenting,” katanya.