PRN: Jangan takut keluar mengundi - KPN

Iklan
Razarudin (tengah) ketika sidang akhbar di Mess Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Jumaat.

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan suasana sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak akan berlangsung dengan aman dan tenteram.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, masyarakat tidak perlu khuatir dan menjadi tanggungjawab polis untuk memastikan proses pengundian berjalan dengan teratur dan lancar.

Iklan
Iklan

"Pemantauan dijalankan bagi memastikan pengundi dapat mengundi dengan teratur dan selamat untuk keluar mengundi, tak perlu takut untuk keluar mengundi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Mess Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Jumaat.

Iklan

Dalam pada itu, Razarudin berkata, sebanyak 190 kawasan 'hotspot' dikesan melibatkan enam negeri yang akan menjalani PRN bermula 12 Ogos kelak.

"Antaranya melibatkan Selangor iaitu sebanyak 70 kawasan panas telah dikenalpasti, Terengganu (66), Kedah (20), Negeri Sembilan and Kelantan masing-masing 16 kawasan panas dan dua kawasan di Pulau Pinang.

Iklan

"Kawasan panas ini melibatkan pejabat kerajaan negeri, kawasan tumpuan orang ramai melibatkan lokasi kempen serta ceramah, lokasi kegiatan hiburan dan lokasi lain melibatkan pelbagai elemen.

"Kesemua lokasi tersebut dikenal pasti berdasarkan pengalaman dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, yang mana ia melibatkan pelbagai isu," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai keanggotaan sepanjang PRN di negeri ini, jelas beliau seramai 10,000 anggota dan pegawai dari kontinjen Selangor akan terlibat.

"Operasi dalam memastikan perjalanan PRN di negeri ini akan dikukuhkan dengan tambahan 2,000 anggota sama ada dari kontinjen lain, formasi malahan Bukit Aman.

"Kita telah mengambil kira semua aspek dan bagi kesemua negeri yang terlibat PRN kali ini, saya sendiri akan turun untuk menentukan, menguruskan sumber manusia diperlukan dari segi logistik dan kewangan," katanya.