SEREMBAN - Tata kelola dan pengurusan ekonomi yang baik mampu menarik minat serta keyakinan pelabur domestik dan asing untuk melabur di negara ini, sekali gus memastikan pertumbuhan ekonomi yang pesat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, ini terbukti apabila di bawah pentadbirannya yang mementingkan perkara berkenaan, kemasukan pelaburan asing berjaya dicatatkan dari China dan Jepun serta Arab Saudi baru-baru ini.
"Minggu hadapan, Elon Musk (Ketua Pegawai Eksekutif Tesla) meminta berunding dengan saya, untuk bincang kemungkinan komitmen beliau untuk tambah pelaburan di Malaysia, semua ini dengan bermulanya tata kelola serta pengurusan ekonomi yang baik.
"Minggu lalu saya jumpa pelabur-pelabur Jepun yang mahu menambah dan mengembangkan pelaburan mereka, beberapa bulan yang lalu saya ke negara China, hasil pelaburan China ke Malaysia adalah paling tinggi dalam sejarah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri Kepada Penjawat Awam Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, di sini hari ini.
Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, syarikat Saudi Aramco dari Arab Saudi sebelum ini turut bersetuju untuk mengembangkan pelaburan mereka di Johor.
"Ini penting, jika tiada pelaburan, pengangguran akan meningkat, ekonomi tidak akan berkembang, restoran, hotel dan lain juga akan terjejas,” katanya.
Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamed. - Bernama