SHAH ALAM - Pengundi Perikatan Nasional (PN) tidak mungkin akan memberi undi kepada Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, malah orang PH-BN juga dijangka bertukar fikiran dengan mengundi calon PN.
Katanya, penolakan PH-BN disebabkan oleh beberapa faktor antaranya kegagalan Kerajaan Perpaduan dalam mentadbir negara, prestasi yang buruk serta campur tangan menteri berhubung hal tidak berkaitan.
"Saya tidak nampak perlunya pengundi PN sebelum ini untuk beralih arah kepada PH, ia tidak mungkin berlaku tetapi orang PH-BN dijangka bertukar pendirian atas faktor kegagalan tersebut, orang UMNO tidak akan mengundi Kerajaan Perpaduan.
Pada Selasa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin gabungan PH dan BN akan merampas dua negeri pembangkang pada PRN tidak lama lagi.
Bagaimanapun, Anwar enggan mendedahkan dua negeri tersebut.
Menurutnya, berdasarkan kajian dan maklumat yang diperoleh, tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang kekal diperintah oleh gabungan itu.
Ujar Mas Ermieyati, rakyat telah mula hilang kepercayaan terhadap Kerajaan Perpaduan kerana kecamukan yang berlaku.
"Bagaimanapun, pucuk pimpinan atas bersungguh-sungguh kata 'okay' tetapi sebenarnya masing-masing main drama, tunjuk wayang walhal ia tidak dirasai oleh orang bawah," katanya.
Ditanya berhubung kenyataan Anwar, beliau berpandangan, perkara tersebut menimbulkan kemusykilan kerana biasanya ramalan atau jangkaan dibuat berdasarkan undian yang diterima pada pilihan raya yang lepas.
"Kalau bercakap mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PN sapu bersih atau mendahului di ketiga-tiga negeri pembangkang iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah.
"Di kubu kuat PH pun iaitu di Padang Serai PN berjaya merampas kerusi. Jadi, saya musykil bagaimana Perdana Menteri boleh nyatakan perkara tersebut tambahan pula keadaan hari ini jelas menunjukkan ramai yang tidak berpuas hati dengan pencapaian Kerajaan Perpaduan dalam tadbir urus negara," ujarnya.