Dadah RM840,000 dirampas, lima dipercayai 'orang tengah' ditahan

Iklan
Gambar hiasan

KOTA KINABALU - Polis Sabah merampas dadah jenis Syabu seberat 14 kilogram bernilai RM840,000 dan menahan lima lelaki dipercayai ‘orang tengah’ terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di beberapa daerah di negeri ini, pada awal minggu ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kesemua suspek berusia antara 17 tahun hingga 40-an dan siasatan awal mendapati mereka dipercayai bergiat aktif dengan kegiatan pengedaran itu, sejak awal tahun ini.

Iklan
Iklan

"Hubung kait kegiatan antara lima lelaki ini masih kita siasat, pada masa ini kita percaya dadah yang dirampas adalah untuk diedarkan di sekitar negeri ini dan ke luar negara. Ada lagi suspek yang kita buru tetapi masih dalam siasatan.

"Kita percaya mereka ini ‘orang tengah’ yang mana mereka membeli dadah daripada satu pihak sebelum menjualnya kepada orang lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata, tangkapan pertama ialah pada Ahad lalu (3 Julai) melibatkan seorang lelaki tempatan di Kilometer 68 Jalan Sandakan-Lahad Datu, apabila pemeriksaan terhadap keretanya menemukan sebuah kotak mengandungi 10 bungkus dipercayai dadah jenis Syabu dengan berat 10.05 kilogram.

Jauteh berkata, pada hari sama, seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing ditahan di Semporna bersama dadah Syabu seberat 2.03 kilogram.

Iklan

Katanya, dalam tangkapan berasingan pada keesokkan harinya, polis menahan seorang lelaki warga asing bersama 1.07 kilogram dadah Syabu di Inanam di sini, dan sementara seorang lelaki warga asing ditahan bersama 1.05 kilogram dadah jenis sama di Tuaran pada hari sama.

"Dianggarkan setiap 10 kilogram dadah Syabu ini mampu membekalkan 50,000 penagih dadah untuk tempoh sehari, jadi kita harap masyarakat juga mampu memainkan peranan untuk membantu pihak polis dalam kita bersama membenteras penyalahgunaan dadah ini,” katanya.

Beliau berkata, turut dirampas wang tunai RM164,000; barang kemas bernilai RM172,000; barangan eksklusif membabitkan beg dan jam tangan bernilai RM90,000; serta 11 kenderaan bernilai RM790,000 yang dipercayai hasil daripada kegiatan ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama