Pengeluaran Ford Fiesta dihentikan selepas 47 tahun

Iklan
Kereta Ford Fiesta terakhir akan dipasang pada Jumaat, apabila pengeluaran kenderaan itu dihentikan di kilang Ford di bandar Cologne, Jerman.
DUSSELDORF (Jerman) - Kereta Ford Fiesta terakhir akan dipasang pada Jumaat, apabila pengeluaran kenderaan itu dihentikan di kilang Ford di bandar Cologne, Jerman, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Kira-kira 20 juta Ford Fiesta dihasilkan di seluruh dunia sejak 1976, kira-kira separuh daripadanya di Jerman - dengan pemasangan awal di Saarlouis berhampiran sempadan Perancis, sebelum berpindah selama beberapa dekad di Cologne.

"Ini adalah acara penting untuk Ford. Ford lama akan meninggalkan Eropah dan Ford elektrik baharu akan muncul," kata pakar industri Ferdinand Dudenhoffer.

Ford kini dalam proses untuk melabur hampir €2 bilion (AS$2.18 bilion) di kilangnya di Cologne selain menukarnya untuk pengeluaran model kereta elektrik baharu, yang pertama akan dilancarkan pada penghujung tahun ini.

"Dengan Fiesta, Ford mendorong permotoran besar-besaran lebih jauh dan mencapai golongan muda dan keluarga dengan bajet yang sederhana dengan kereta kecil ini," kata Dudenhoffer, yang merupakan pengarah Pusat Penyelidikan Automotif di Duisburg.

Ford Fiesta amat popular di negara-negara Eropah selatan seperti Itali dan Greece, katanya.

Jualan Fiesta memuncak pada awal 1990-an, selepas itu kejayaannya beransur-ansur pudar.

Sementara itu Dudenhoffer meragui sama ada Ford sekali lagi akan menjadi peneraju model kereta masa depan seperti yang dilakukan dengan Fiesta. - Bernama-dpa