KUALA TERENGGANU - Penantian seorang abang yang menunggu kepulangan adiknya berakhir duka apabila Muhammad Fikri Saliman, 24, ditemukan lemas selepas dipercayai dihanyutkan kepala air ketika berkelah di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih pada Sabtu lalu.
Shahrizal Saliman, 40, berkata, dia tetap menyayangi Muhammad Fikri sampai bila-bila meskipun mengetahui adiknya itu sudah pergi meninggalkannya dan ahli keluarga lain buat selama-lamanya.
Bagaimanapun, dia reda dan bersyukur kerana doanya selama ini terjawab apabila menjumpai jasad Muhammad Fikri pada pagi Jumaat.
"Alhamdulillah penantian saya berakhir sampai di sini. Saya bersyukur dapat dipertemukan dengan jenazah adik pada hari Jumaat.
"Kalau jumpa dia hidup atau sebaliknya, saya reda... saya tetap sayang adik sampai bila-bila. Jadi saya bersyukur pada ALLAH SWT permudahkan segala urusan.
Dia berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada Jumaat.
Dengan nada sebak, Shahrizal meluahkan rasa lega apabila jasad Muhammad Fikri dijumpai dalam keadaan baik susulan sebelum ini dia berusaha mencari adiknya termasuk melaungkan azan di lokasi bencana sebagai ikhtiar mencari mangsa yang hilang.
"Semalam ikhtiar dengan cara laungkan azan, Alhamdulillah ALLAH SWT permudahkan segala urusan. Saya bersyukur hari Jumaat dipertemukan jenazah adik saya dalam keadaan baik.
"Saya dan ahli keluarga lain menanti penuh sabar jenazah adik tapi ALLAH lebih sayangkan dia, saya reda," ujarnya.
Shahrizal berkata, buat masa ini dia hanya menunggu urusan bedah siasat Muhammad Fikri selesai sebelum jenazah adiknya itu dibawa balik ke kampung halaman mereka di Kampung Parit Kuda, Batu Pahat, Johor untuk urusan pengebumian.
"Tunggu urusan selesai mandi dan bedah siasat baharu dibawa ke balik ke kampung kelahiran adik saya.
"Adik beradik dan ahli keluarga lain tunggu di kampung bagi menguruskan semua persiapan untuk urusan pengebumian jenazah," jelasnya.
Dalam pada itu, Shahrizal juga mendoakan mangsa terakhir, Putri Nur Fatin Karim, 14, yang masih hilang dapat dijumpai dengan segera dan urusan pencarian tersebut dipermudahkan.
Ahad lalu, sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Pahang dan bakal menantu keluarga terbabit dari Batu Pahat, Johor dikhuatiri lepas selepas dihanyutkan kepala air.
Setakat ini, sembilan jasad sekeluarga mangsa tragedi itu telah ditemukan sejak enam hari operasi pencarian dijalankan bermula Ahad lalu.
Jasad Allahyarham Karim dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree Karim,6 dan Putri Aryana Umaira Karim, 4 ditemukan pada Ahad dan Isnin manakala Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18 dan adik tirinya, Putri Alleya Maisarah, 16, ditemukan pada Selasa.
Pada Jumaat, mayat Muhammad Fikri dijumpai terdampar di tebing pasir, dua kilometer dari lokasi kejadian pada jam 9.20 pagi.
Seorang lagi mangsa yang masih belum ditemukan dan terakhir masih hilang ialah Putri Nur Fatin.
ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi kepala air: Mayat ketujuh disahkan Putri Balqis Izzati
Tragedi kepala air: Mayat ketujuh ditemukan
Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung cari 3 lagi mangsa
Dua lemas, lapan lagi masih hilang dihanyutkan kepala air
Ancaman kepala air, operasi SAR kesan 8 lagi mangsa dihentikan awal
Terkejut, tak percaya keluarga kakak terlibat tragedi kepala air
Tragedi kepala air: Identiti lapan individu dikenal pasti
Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung kesan lapan lagi mangsa
Tragedi kepala air: Hilang sepupu rapat sekelip mata
'Adik sanggup ikat perut nak kahwin hujung tahun ini'
Tragedi kepala air: Jenazah mangsa dibawa ke Felda Lepar Hilir 3
Tragedi kepala air: Dua lagi mangsa dipercayai masih di zon A, B
Tragedi kepala air: Operasi SAR bersambung, fokus di sektor A
Tragedi kepala air: Pasukan SAR buat usungan daripada batang kayu
Tragedi kepala air: Mayat kesembilan disahkan Muhammad Fikri