KEPALA BATAS - Dugaan bersilih ganti terpaksa dihadapi oleh wartawan sambilan di Kota Aur, di sini selepas kehilangan bapanya pada pagi Hari Raya Aidiladha yang lalu dan kini perlu menjaga ibunya yang terlantar akibat kanser limfoma tahap empat.
Amree Ahamad, 47, berkata, bapanya Ahamad Khalid, 73, yang juga pesara polis meninggal dunia disebabkan sakit tua manakala ibunya juga pesara jururawat perbidanan di Hospital Bukit Mertajam pula disahkan menghidap kanser berkenaan sejak tahun lalu.
Menurutnya, disebabkan keadaan kesihatan ibunya, Rosiah Wahab, 73, kian merosot sejak kebelakangan ini membuatkan dia terpaksa meninggalkan seketika urusan kerja di ibu kota bagi memberi tumpuan penuh untuk menjaganya.
"Ibu kini tidak mampu untuk uruskan diri sendiri dan memerlukan kami memberi sepenuh perhatian kepadanya selain perlu mengeluarkan perbelanjaan sendiri dari tabungan untuk membeli barangan keperluan seperti lampin pakai buang, susu khas, tisu basah serta lain-lain keperluan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediaman ibunya di sini, pada Jumaat.
Amree berkata, dia yang sudah lebih sebulan berada di kampung kini buntu kerana tidak dapat memperoleh sebarang pendapatan selain perlu menyara isteri dan seorang anaknya yang kini menetap di rumah sewa di Bangi, Selangor.
Jelasnya, kakak sulungnya pula merupakan ibu tunggal dan berniaga kecil-kecilan sahaja.
"Memang agak runsing memikirkan wang simpanan semakin berkurangan disebabkan tidak mempunyai sumber pendapatan lain.
"Saya anggap ini ujian dan reda dengan ketentuan-Nya. Insya-ALLAH kami akan menjaga ibu dengan sebaiknya dan dapat menjalankan tanggungjawab sebagai anak sebelum ibu menutup mata,” katanya.
Orang ramai yang prihatin dan ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank milik Amree 162263746455 atau menghubunginya di talian 011-52212127.