Udang import jejas pendapatan pengusaha udang tempatan

Iklan
Syed Omar (duduk, dua dari kiri) bersama sebahagian pengusaha udang ternakan mengadakan sidang akhbar di Hotel D Elegance, Bandar Seri Alam, Johor Bahru, pada Jumaat.

JOHOR BAHRU - Persatuan Industri Udang Malaysia mendakwa kemasukan udang import ke dalam pasaran tempatan sejak dua bulan lalu menjejaskan pendapatan lebih 3,000 pengusaha udang ternakan di seluruh negara.

Pengerusinya, Syed Omar Syed Jaafar berkata, keadaan tersebut menyebabkan kerugian yang ditanggung pengusaha kini mencecah sehingga 40 peratus.

Iklan
Iklan

"Harga jualan udang di pasaran ketika ini adalah lebih rendah berbanding kos operasi, berbeza dengan dua bulan lalu.

"Sebelum ini, udang tempatan masih dijual dengan harga RM26 bagi sekilogram, namun ketika ini harga pasaran sudah jatuh sehingga RM15 sekilogram," katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di Bandar Seri Alam di sini, pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, situasi itu berlaku disebabkan lambakan kemasukan udang import dalam pasaran tempatan khususnya dari Thailand dan Indonesia sekali gus menyebabkan bekalan melebihi permintaan.

Katanya, perkembangan itu amat membimbangkan lebih 3,000 pengusaha udang ternakan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Iklan

Saban tahun ujarnya, pengusaha tempatan menghasilkan kira-kira 48,000 tan metrik udang dan daripada jumlah itu 36,000 tan metrik adalah bagi memenuhi permintaan pasaran dalam negara, manakala selebihnya dieksport.

"Namun timbul kesukaran apabila undang-undang biosekuriti negara terbabit diketatkan serta memakan masa sebelum diluluskan kemasukan sehingga menjatuhkan harga udang.

"Dalam masa sama, undang-undang biosekuriti negara ini pula memudahkan kemasukan udang import yang diisytihar sebagai 'makanan laut' sehingga menjejaskan harga tempatan, menyebabkan pengusaha kerugian apabila kos operasi lebih tinggi daripada harga jualan," ujarnya.

Kata Syed Omar lagi, sebelum tahun 2000, industri itu tidak berdepan masalah sedemikian kerana udang Malaysia menampung sekitar 50 peratus permintaan udang di Thailand, namun sejak penguatkuasaan undang-undang biosekuriti dilaksanakan, industri udang tempatan mula terkesan.

Sehubungan itu, pihaknya meminta kerajaan mengetatkan undang-undang biosekuriti negara melibatkan udang import agar setara dengan yang dilaksana di negara lain bagi memastikan industri penternakan udang tempatan dapat dibantu.