KWSP jangan buat kajian tanpa libatkan pihak berkepentingan - MTUC

Iklan
Kamarul Baharin - Foto Bernama

SHAH ALAM - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu melibatkan pihak yang mewakili pencarum dalam rancangannya menjadikan pengeluaran secara berkala atau bulanan bagi pencarum mencecah usia persaraan 55 tahun sebagai mandatori.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, badan itu perlu membuat kajian dengan melibatkan kumpulan yang diiktiraf oleh kerajaan sebagai mewakili pekerja dan bukannya secara senyap.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pencarum juga tidak boleh disalahkan apabila menentang idea KWSP kerana perbezaan maklumat.

"KWSP sebagai badan yang menguruskan simpanan pekerja seharusnya bersikap telus dengan membincangkan perancangan dengan pihak yang mewakili pencarum.

Iklan

"Mereka perlu berusaha untuk mempromosikan pengeluaran bulanan kepada pencarum agar ia dilakukan secara sukarela. Maklumkan kebaikan pengeluaran bulanan dan berikan faedah lain seperti tambahan kadar dividen, kemudahan hospital percuma agar pencarum tertarik dengan skim ini,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Rabu berkata, pihaknya mempertimbangkan menjadikan pengeluaran secara berkala atau bulanan bagi pencarum yang mencecah usia persaraan 55 tahun sebagai mandatori untuk ahli baharu.

Iklan

Kamarul Baharin berkata, gangguan kepada sistem pengeluaran masa kini akan menyebabkan tindak balas pencarum.

"KWSP disaran menumpukan pada kutipan dan menambah pelaburan yang memberi dividen yang tinggi kepada pencarum.

"MTUC telah mencadangkan supaya tabung pencen diperkenalkan sebagai tanggungjawab sosial kepada golongan pencen. Kerajaan disaran menubuhkan tabung ini hasil sumbangan pekerja, majikan dan kerajaan,” ujar beliau.

Tambahnya, cadangan untuk mengambil subsidi bagi golongan atasan dan dimasukkan di dalam tabung ini adalah idea yang baik.

Dalam masa yang sama, Kamarul Baharin turut menyatakan bahawa pihaknya akan memberikan maklum balas atas cadangan KWSP berkaitan pengeluaran secara bulanan setelah mendapat kertas kajian daripada KWSP.

"Majlis Am MTUC akan membincangkan secara terperinci cadangan KWSP sebelum memutuskan sama ada menerima atau menolak,” katanya.