Tempat riadah ekstrem orang Batu Pahat

Iklan
Suasana Litar Pump Track Batu Pahat yang sedang digunakan oleh penggiat BMX. Gambar kecil: Mohd Khuzzan

BATU PAHAT - Sukan basikal lasak dan ekstrem seperti BMX boleh dikatakan masih lagi menjadi pilihan kepada kebanyakan orang muda khususnya kepada mereka yang membesar di bandar.

Hakikatnya aktiviti sukan lasak berkenaan sudah wujud lama dan menjadi antara sukan ekstrem paling popular di dunia.

Iklan
Iklan

Kini, ramai yang menjadikan aktiviti ini sebagai sukan pilihan yang mampu menjana pendapatan tambahan terutamanya dalam kalangan orang muda termasuk peminat sukan lasak di sekitar daerah ini.

Bagi peminat sukan basikal lasak dan ekstrem di daerah itu, kini mereka mempunyai lokasi riadah yang sesuai apabila pembinaan litar pump track di Jalan Ampuan berhampiran Dataran Batu Pahat siap sepenuhnya pada awal Februari lalu.

Iklan

Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, pembinaan litar itu mencipta sejarah tersendiri apabila ia menjadi satu-satunya litar pump track di Malaysia yang dibina dalam lapisan permukaan tar (bitumen) secara keseluruhannya.

"Semasa saya memegang portfolio sukan sebelum ini, saya telah menerima kertas cadangan daripada Persatuan Berbasikal Batu Pahat untuk diwujudkan satu litar pump track kepada peminat basikal lasak di daerah ini dan saya rasakan itu cadangan yang bagus.

Iklan

"Jadi, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM234,860 untuk membina litar sepanjang 245 meter ini yang mula dibina pada 20 Disember 2018 sebelum siap sepenuhnya pada 4 Februari lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Khuzzan berkata, litar itu terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu main loops, medium loops, small Loops dan rhytham section.

"Litar ini ini dibina dalam konsep beralun terdiri daripada roller, table top, step up, berm dan double yang berfungsi sebagai halangan agar mendapat momentum yang baik kepada tunggangan basikal.

"Malah keistimewaan litar ini berbanding ini terletak kepada bahan asas binaannya iaitu tanah (dirt), habuk batu (quarry dust) dan tar atau bitumen (asphalt),” katanya. Katanya, semua peringkat umur dan orang awam layak menggunakan litar itu dengan syarat mereka mematuhi peraturan.

"Pengguna mesti menggunakan basikal yang bersesuaian dan mengenakan peralatan keselamatan seperti topi keledar, kasut dan padding keselamatan.

"Bagi kanak-kanak di bawah umur tujuh tahun pula mereka wajib ditemani penjaga ketika sedang menggunakan litar ini,” katanya.

Beliau berkata, tiada bayaran dikenakan bagi penggunaan litar ini dan waktu penggunaannya adalah bebas dan pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, jelasnya, orang awam tidak dibenarkan menggunakan litar itu pada waktu hujan kerana permukaannya licin.

Beliau berkata, litar yang berada di bawah pemantauan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) itu hanya membenarkan basikal jenis MTB, dirt jump, BMX, push bike, papan seluncur dan kasut roda. Mohd Khuzzan yang juga ADUN Semerah berkata, litar ini juga adalah sebagai tempat latihan awalan bagi pengenalan kepada Sukan Supercross BMX dan sesuai untuk aktiviti riadah seperti kayuhan santai, latihan dan kejohanan acara basikal jenis Mountain Bike (MTB).

Menurutnya, beliau berharap litar ini mampu menghasilkan atlet basikal lasak negeri seperti kejayaan anak jati Batu Pahat, Zafrin Shah Sabikin yang berjaya menempatkan diri di peringkat akhir World Extreme Games di Barcelona beberapa tahun lalu dan mendapat tempat kelapan secara keseluruhan.

"Di negeri ini sahaja, terdapat tiga lokasi pump track yang telah dibina iaitu di Kompleks Belia dan Sukan Johor Bahru, Kluang dan yang terbaru di Batu Pahat.

"Di seluruh negara pula terdapat enam lokasi pump track secara keseluruhannya,” katanya. Katanya, kerajaan negeri berhasrat untuk menjadikan litar ini sebagai salah satu produk pelancongan atau lokasi wajib dikunjungi sekiranya pelancong dari dalam dan luar negara datang ke Batu Pahat.

"Dijangkakan beberapa kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa juga akan dilaksanakan di litar ini dan pada tahun ini sekiranya tiada halangan, litar ini akan menganjurkan satu kejohanan di peringkat kebangsaan.

"Kawasan ini juga boleh dijadikan lokasi riadah keluarga yang sesuai kepada penduduk di daerah ini terutamanya bagi mereka yang mementingkan aspek kesihatan kerana lokasinya yang strategik bersebelahan Stadium Batu Pahat,” katanya.