PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman dinasihatkan untuk memudahkan urusan penjualan selepas terdapat pembeli yang berminat untuk menyelamatkan kelab pantai timur itu.
Pemerhati sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham perlu segera menetapkan tarikh perbincangan mendengar tawaran pembeli agar segala urusan penjualan boleh dilakukan dengan lancar.
Menurutnya, tindakan Zamsaham yang masih belum memberikan maklum balas menunjukkan dia tidak serius untuk menjual Kelantan FC.
"Sebenarnya semua bergantung kepada Zamsaham. Betul ke dia nak jual (Kelantan FC)? Kalau betul dia nak jual kerana sayangkan Kelantan FC dan nak lihat perubahan dalam pasukan, maka percepatkan urusan penjualan.
"Bagilah kepada orang yang betul-betul minat. Lagipun ada pihak yang sanggup membayar, kenapa perlu nak kalih sana kalih sini.
"Jumpa dan bincang elok-elok. Kalau hanya bercerita melalui media ini tidak akan ada kata putus dan tetap masalah tidak akan selesai," katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
Sebelum ini, usahawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida dan usahawan, Erfan Lee Ruslan menyatakan minat secara rasmi untuk membeli pasukan tersebut.
Malah, Erfan Lee juga dilaporkan sanggup membayar RM10 juta untuk mengambil alih pasukan tersebut daripada Zamsaham yang merupakan nilai cukup tinggi untuk kelab seperti Kelantan FC.
Namun, sehingga kini, Zamsaham masih belum menetapkan tarikh perbincangan sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong Kelantan FC mengenai keikhlasannya menjual kelab tersebut.
Dalam pada itu, Pekan juga melihat kemungkinan kemerosotan akan terus dialami pasukan sekiranya kelab itu tidak bertukar milik termasuk lebih banyak isu negatif yang akan timbul.
"Kalau sudah tak ada keuntungan kenapa nak dipertahankan lagi? Memanglah hak dia untuk jual atau tidak tetapi ketika ada orang nak ambil alih ini selesaikanlah cepat.
"Apa yang penting adalah peminat Kelantan FC itu sendiri. Kalau pasukan itu terlalu banyak isu negatif, ia bukan sahaja memberikan kesan kepada pemain sahaja.
"Bila sampai satu tahap penyokong dah muak dan tidak mahu pergi ke stadium lagi, apa lagi yang tinggal kepada pasukan tanpa penyokong?," katanya.