‘Isytihar harta calon yang bertanding PRN juga' - Nurhayati

Iklan
Nurhayati

SHAH ALAM - Rasuah Busters mencadangkan kerajaan menguatkuasakan pengisytiharan harta bukan sahaja kepada anggota pentadbiran, tetapi juga calon-calon parti politik yang bakal bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, langkah tersebut bagi memastikan calon yang bertanding tidak terlibat dengan rasuah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengisytiharan harta dapat mengelakkan wujudnya dana-dana yang tidak dijangka semasa kempen pilihan raya berlangsung.

"Kaedah untuk setiap parti menerima dana khusus untuk berkempen perlu disahkan supaya tiada aktiviti cuci duit berlaku.

Iklan

"Ia adalah usaha yang baik dalam memastikan ketelusan dan tanggungjawab mereka mendapat kepercayaan orang awam kerana kewibawaan serta kesediaannya untuk dinilai,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk menguatkuasakan semula pengisytiharan harta anggota pentadbiran.

Iklan

Perkara tersebut dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) yang dipengerusikan beliau.

Ujar Nurhayati, melalui kaedah tersebut, masyarakat akan bertambah yakin untuk memilih mereka sebagai pemimpin yang bertanggungjawab dan beretika.

Tambah beliau, proses pengisytiharan perlu telus, tiada agenda tersembunyi atau penyalahgunaan kuasa kedudukan selain pengesahan menggunakan pendekatan pragmatik yang perlu diberi penekanan.

"Pastikan segala proses yang dibuat itu tepat, jujur dan menyeluruh tanpa ada unsur rasuah atau berat sebelah kepada mana-mana calon bertanding.

"Diharapkan supaya kerajaan terus menerus mendidik rakyat fahami isu pengisytiharan harta ini,” katanya.