KUMPULAN Majakelat dinobatkan sebagai juara program Mega Spontan 2023 yang berlangsung di Panggung Percubaan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada malam Jumaat.
Kemenangan itu sekali gus melayakkan kumpulan yang dianggotai oleh Adlin Aman Ramlie, Joey Daud, Mamat Sepah, Sanjna Suri dan Oky Danial membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM200,000 berserta trofi.
Tidak hanya itu, Joey Daud turut dipilih sebagai pemenang Pemain Terbaik Pusingan Terakhir dengan hadiah wang tunai RM10,000 dan sebuah trofi.
Majakelat dibimbing oleh Zizan Razak selaku Mentor sepanjang beraksi di pentas Mega Spontan 2023.
"Kami sangat berbangga kerana segala usaha kami selama lapan minggu akhirnya berbaloi. Alhamdulillah terima kasih pada peminat di luar sana dan juri profesional yang percaya dengan kewibawaan dan kebolehan kami,” ujar Adlin mewakili Majakelat.
Sementara itu, kumpulan Srivijanda yang dianggotai oleh Mamak Puteh, Ropie, Fadli Masoot, Aya Amiruddin dan Apit Wan Lebo pula akur di tempat kedua. Mereka dibimbing oleh pelakon Kamal Adli selaku Mentor.
Datuk Afdlin Shauki bertindak sebagai Game Master sepanjang lapan minggu program berlangsung.
Malam akhir program tersebut juga menyaksikan pihak Astro memberi sumbangan RM5,000 kepada penyanyi veteran, Datuk M Daud Kilau yang kini sedang diuji masalah kesihatan.
Mega Spontan yang dihoskan oleh Sherry Alhadad di samping Amir Raja Lawak bersiaran secara langsung menerusi saluran Astro Warna HD (107), setiap Jumaat, jam 9 malam.