KOTA KINABALU - Ketua Penerangan Parti Warisan (Warisan), Datuk Azis Jamman perlu menerangkan 17 perkara daripada 21 tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang didakwanya telah selesai.
Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Razeef Rakimin berkata, beliau perlu menjelaskan definisi 'selesai' yang dimaksudkannya itu.
"Sama ada perkara itu telah selesai dibangkitkan, selesai diutarakan, selesai yang sudah ada persetujuan dasar atau selesai yang sudah dilaksanakan.
"Ini penting kerana rakyat perlu tahu setakat mana sesuatu perkara dalam MA63 itu telah diselesaikan. Ini kerana jika ia telah selesai seperti yang didakwa Azis namun sebenarnya masih dalam proses tertentu, ia akan memberi kesan dan fitnah kepada Kerajaan Perpaduan yang akan dituduh membatalkan perkara yang didakwa Azis telah selesai walhal masih dalam proses untuk diselesaikan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Razeef berkata, serangan berterusan Azis terhadap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali juga dilihat seperti cubaan menutup kegagalannya sebagai Ahli Parlimen Sepanggar dan Timbalan Menteri Dalam Negeri.
Menurutnya, sebagai salah seorang pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan, Azis sepatutnya membantu menyampaikan dasar kerajaan memandangkan kini mempunyai banyak masa terluang selepas tidak lagi menjadi ahli Parlimen.
"Namun saya melihat serangan demi serangan dilakukan kepada Armizan dan ia dilihat seperti sebuah serangan terancang yang sengaja ditujukan ke atas Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
"Jika soal kegagalan cubaan rampasan kuasa oleh Warisan pada Januari lalu menjadi punca, saya nasihatkan agar Warisan melupakan perkara itu dan 'move on' seperti GRS 'move on' dan fokus kepada pembangunan wilayah Sabah," katanya.
Razeef berkata, biarlah Armizan lakukan tugasnya sebagai Menteri dan pemimpin parti lain dalam Kerajaan Perpaduan seperti Azis bantu menyampaikan dasar kerajaan melalui pelbagai platform yang ada.
"Saya yakin tindakan Azis yang dilihat seperti cubaan sabotaj Kerajaan Perpaduan bukanlah atas arahan pimpinan tertinggi parti tersebut.
"Tetapi lebih kepada melepaskan kemarahan selepas tewas ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu serta melihat kejayaan demi kejayaan kerajaan Sabah menyelesaikan pelbagai masalah hari ini," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
MA63: Azis pelawa Armizan debat, Sinar Harian jadi moderator