KUALA LUMPUR - Warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menerima manfaat menyeluruh menerusi beberapa inisiatif dan insentif diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertujuan meningkatkan kualiti hidup serta memelihara kebajikan mereka.
Insentif itu antara lain meliputi aspek penyediaan infrastruktur, penjagaan kesihatan, pendigitalan dan perumahan.
Antara diumumkan, Sumbangan Kesihatan Rahmah (SKR) melibatkan peruntukan RM21.21 juta, pembinaan pusat hemodialisis dengan peruntukan RM21 juta, perbelanjaan untuk kos operasi lampu jalan melibatkan RM7.7 juta setahun dan subsidi diesel RM36 juta setahun bagi tiga Felda di Sabah.
Anwar turut mengumumkan program dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan dilaksanakan di 30 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) yang dikenal pasti di seluruh negara untuk menjadikan Felda sebagai peneraju transformasi digital menerusi program Digital MADANI bagi memperkasa ekonomi gig.
Pengarah Program Pengajian Ekonomi di Institut Jeffrey Cheah Asia Tenggara, Sunway University, Profesor Yeah Kim Leng berkata, langkah berkenaan akan meningkatkan pendapatan, menambah baik taraf hidup dan meringankan beban hutang komuniti Felda di seluruh negara.
Beliau berkata, yang paling penting, inisiatif transformasi digital, program penstrukturan semula pinjaman Felda dan pemansuhan hutang peneroka akan membolehkan peneroka memulakan hidup baharu.
Ahli Ekonomi daripada Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Barjoyai Bardai pula berpendapat inisiatif Digital MADANI yang diumumkan itu sebagai ‘benih’ untuk mewujudkan satu industri baharu iaitu industri berasaskan ekonomi digital dan penghijrahan kepada Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
"Ini boleh dijadikan asas pada masa akan datang untuk membangun industri ini dan inisiatif yang dilakukan ini sangat baik kerana ia dimulakan juga dengan memfokuskan kepada generasi baharu Felda.
"Jadi harapnya ini akan berterusan serta meningkat dari tahun ke tahun sehingga mencapai matlamat,” katanya.
Menyambut baik inisiatif dan insentif lain yang diumumkan Anwar, Barjoyai turut mencadangkan penubuhan satu institusi khusus bagi menangani isu berkaitan kesihatan, keselamatan, perlindungan sosial dan sebagainya melibatkan warga Felda dan keluarga.Beliau berkata, institusi itu perlu menjana pendapatan secara tahunan menggunakan sistem endowmen dan boleh menampung kos untuk membiayai kemudahan perkhidmatan serta perlindungan sosial bagi warga Felda, seterusnya diteruskan bagi semua kumpulan yang memerlukan.
Selain itu, beliau berkata, bagi memastikan peningkatan kualiti hidup dan memelihara kebajikan warga Felda, inisiatif dan insentif disalurkan kerajaan ini perlu diteruskan serta perlu melibatkan belanjawan tahunan.
"Ini bermakna ia bukan hanya satu perbelanjaan sekali gus... belanjawan ini perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa, mengambil kira bilangan peserta Felda dan ahli keluarga mereka yang semakin ramai.
"Ini memerlukan perhatian (kerajaan), bagaimana untuk mewujudkan satu sistem yang lestari dan dapat secara berterusan menampung kos pemberian kemudahan ini kepada mana-mana ahli keluarga dan peserta Felda,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memberi jaminan kerajaan akan memberi tumpuan khusus berkaitan isu Felda dalam Belanjawan Madani 2024, Oktober depan sebagai usaha kerajaan untuk mengangkat martabat Felda dan membela nasib penerokanya.
Felo Penyelidikan Kanan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Shankaran Nambiar menyifatkan pengumuman oleh Perdana Menteri itu sebagai inisiatif utama untuk meningkatkan kesejahteraan peneroka Felda kerana mencakupi semua aspek kehidupan mereka.
Beliau turut menyarankan kerajaan meneliti pendekatan dalam memodenkan bidang pertanian dan menaik taraf teknologi yang disediakan untuk peneroka Felda.
Semalam, pada majlis sambutan Hari Peneroka Felda 2023, Anwar dilaporkan berkata, kerajaan meluluskan dana sehingga RM1 bilion setahun bagi tempoh 10 tahun mulai tahun ini untuk menjamin kelangsungan Felda dan menyatakan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk melupuskan sebahagian daripada pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.
Pada 28 Jun lepas, kerajaan mengumumkan telah menandatangani perjanjian melibatkan Jaminan Kerajaan kepada Felda untuk menstruktur semula pinjaman melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan Felda.
Sebahagian besar penstrukturan semula pinjaman Felda itu melibatkan pengurangan prinsipal hutang Felda bersama institusi kewangan sebanyak RM7.9 bilion serta membolehkan Felda memberi pemansuhan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion.
Shankaran Nambiar berkata, langkah mengurangkan hutang Felda daripada institusi kewangan dan mengurangkan kadar faedah yang perlu dibayar akan memberi Felda lebih ruang untuk ‘bernafas’.
"Persoalan utama ialah melupuskan hutang peneroka kerana jika itu tidak dapat dilakukan, peneroka mempunyai situasi yang teruk dan begitu juga dengan Felda. Perjanjian ini akan memberi kelegaan yang besar kepada peneroka. Ia juga akan mengurangkan beban Felda. Ia adalah penyelesaian yang perlu,” katanya.
Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media & Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin pula berkata, komitmen kerajaan menjadikan Felda sebagai peneraju transformasi digital menerusi Program Digital MADANI dialukan bagi mewujudkan gelombang pemangkin ekonomi masyarakat dalam era digitalisasi ekonomi.
Beliau berkata, ia bakal mencetuskan rantaian perubahan serta mewujudkan pengiktirafan kerajaan dalam memperkasakan ekonomi gig secara strategik di samping memastikan keselamatan ekonomi masyarakat dipertingkat.
"Pembabitan generasi Felda dengan padanan strategik hasil usaha transformasi digital kerajaan akan berupaya mewujudkan segmentasi baru peluang pekerjaan dan pemilikan ekonomi gig dalam kalangan generasi baru Felda khususnya.
"Kerajaan juga disarankan menubuhkan unit serta sistem sokongan berterusan bagi memastikan generasi Felda dapat terbabit secara konsisten serta dipantau secara berterusan supaya mereka boleh mendominasi sektor ekonomi gig tertentu bagi meningkatkan nilai ekonomi gig golongan tersebut secara strategik,” katanya. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN:
Kerajaan lulus dana RM1 bilion setahun untuk kelangsungan Felda