SHAH ALAM - Agenda memanusiakan politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) menjadi sukar sekiranya tren pengundi masih terikat dengan jalur etnik, ras dan agama seperti yang berlaku semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, sekiranya politik berdasarkan dominasi oleh satu bangsa, ia sukar mencapai kata sepakat.
Menurutnya, matlamat memanusiakan politik memerlukan jiwa besar untuk mencipta nilai dalam kontrak sosial dengan menyediakan ruang, akses, peluang dan infrastruktur bersesuaian lokaliti tanpa menjejaskan nilai yang melakar Malaysia.
"Pada waktu yang sama kesepakatan ini akan mengorak langkah besar untuk membela nilai kemanusiaan dalam ekosistem politik negara.
Ujar beliau, percanggahan dan perseteruan lumrah dalam gelanggang politik, namun penyatuan di bawah persetujuan serta kompromi adalah tidak mustahil.
Tambahnya, kewajaran membawa sesuatu agenda perlu berhati-hati supaya dapat melengkapi perbezaan dengan meraikan kepelbagaian dan persamaan berprinsipkan nilai kemanusiaan.
"Penggabungan berasaskan kepada rasa tanggungjawab akan membolehkan sesiapa menggarap dan memberi makna kepada keselesaan percaturan politik andai kata mahukan koalasi mereka kekal untuk satu tempoh masa yang lama.
"Pengundi hari ini memiliki literasi berbeza dan informasi yang kadangkala mengelirukan sehingga menimbulkan sentimen emosi,” katanya.