TAIPING - Jentera pilihan raya DAP Perak akan digerakkan untuk membantu kemenangan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah.
Setiausaha DAP Perak Perak, Wong Kah Woh berkata, pihaknya akan memberi tumpuan khusus di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi PH iaitu DUN Kota Darul Aman dan DUN Derga.
Menurutnya, kedua-dua kerusi tersebut dimenangi oleh DAP pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan akan terus dipertahankan pada PRN kali ini.
"Memang untuk negeri-negeri lain, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang, pimpinan kita akan turun tetapi bagi jentera Perak kita akan fokus di negeri Kedah," katanya kepada pemberita selepas ditemui menyampaikan sumbangan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Darul Ridwan di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Kah Woh berkata, DAP akan bersama-sama rakan-rakan di dalam parti kerajaan untuk bergerak seiring memenangkan calon ditampilkan PH dan BN.
Katanya, sebagaimana kerjasama ditampilkan di dalam mentadbir kerajaan, begitu juga perpaduan yang akan diteruskan ketika turun ke gelanggang menghadapi PRN sebagai satu pasukan.
Dalam perkembangan berlainan, beliau yang juga Ahli Parlimen Taiping turut menyerahkan sumbangan RM12,000 kepada pihak SMK Darul Ridwan bagi tujuan membaik pulih bumbung bangunan sekolah yang rosak akibat ribut baru-baru ini.
Menurutnya, selain itu juga sejumlah RM2,000 lagi akan disumbangkan bagi membeli televisyen pintar untuk kegunaan pelajar di sekolah berkenaan.