MELAKA - Polis Melaka menumpaskan sindiket perjudian dalam talian yang mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit selepas menahan enam individu di sebuah Kompleks Perniagaan Kota Shah Bandar, di sini, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sepasukan polis menyerbu lokasi itu pada jam 3.30 petang dan menahan kesemua suspek berusia antara 26 hingga 45 tahun, hasil maklumat dan risikan yang dijalankan.
Iklan
Iklan
Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan berjaya merampas lapan telefon bimbit serta 53 unit set komputer yang berunsurkan perjudian dalam talian.
"Mereka dipercayai beroperasi dari jam 10 pagi hingga 6.30 petang setiap hari tanpa cuti dan bayaran gaji sebanyak RM3,500 sebulan diuruskan suspek berusia 44 tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.
Jelas beliau, siasatan yang dijalankan turut mendapati pusat itu mampu menyediakan sehingga 50 set komputer lengkap bagi operasi perjudian dalam satu masa di setiap premis di negeri ini.
"Kesemua mereka telah ditahan reman selama empat hari bermula Jumaat hingga Isnin ni bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953," katanya.