BACHOK - Seorang remaja lelaki masih trauma apabila melihat rakan baiknya maut di depan mata selepas tenggelam sebaik sahaja turun ke dalam sebuah kolam ikan untuk mandi di Kampung Kuau di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa, Mohammad Afiq Zaquan Mohd Arifin, 13, meninggal dunia di lokasi selepas dipercayai lemas.
Muhammad Idzni Adha Zulkifli, 14, berkata, sebelum kejadian rakan baiknya itu telah turun ke dalam kolam berkenaan untuk mandi bersama dua lagi remaja lelaki.
"Arwah (Mohammad Afiq) ada mengajak saya mandi bersamanya, tapi saya menolak dan hanya melihat dia berbuat demikian.
"Selepas dua minit arwah tidak timbul lepas turun ke dalam kolam itu, saya terus panik kerana arwah tak pandai berenang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Pa' Pura di sini pada Sabtu.
Menurutnya, panik dengan keadaan itu dia terus berlari sekuat hati untuk mendapatkan pertolongan daripada penduduk kampung dan Mohammad Afiq kemudian berjaya dinaikkan ke darat, namun sudah tidak bernyawa.
Ujarnya, pada hari kejadian dia dan Mohammad Afiq sepatutnya keluar mengisi minyak motosikal tetapi tidak berbuat demikian, malah terus ke kolam ikan tersebut.
Sementara itu, ibunya, Kartina Athira Mohd Subri, 31, memberitahu kali terakhir dia berjumpa anak sulung daripada dua beradik itu pada 8 Jun lalu.
Menurutnya, Mohammad Afiq tinggal bersama ibunya sejak bayi lagi kerana dia tinggal dan bekerja di Shah Alam, Selangor.
"Sebelum berpisah hari itu semasa bersalaman dan berpelukan, arwah sempat berbisik pada saya memohon maaf.
"Pada waktu itu, hati saya tidak keruan memikirkan kata-kata maaf yang diungkapkan kerana dia tidak berbuat apa-apa kesalahan," katanya.
Ujar Kartina Athira, sehinggalah pada petang Jumaat menerima panggilan Mohammad Afiq sudah meninggal dunia
Tambah dia, luluh hatinya mendengar berita tersebut sehingga sekarang sukar untuk membayangkan anak lelakinya itu sudah tiada.
Mohammad Afiq selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Keluat, Tanjong Pauh di sini pada jam 10 pagi.
Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima maklumat berkaitan kejadian terbabit.