Beri kelulusan segera pasukan kaji skim gaji perkhidmatan awam - Cuepacs

Iklan
Adnan Mat

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap Jemaah Menteri dapat memberikan kelulusan segera cadangan untuk memulakan pasukan yang akan mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya berharap suatu tempoh masa tidak terlalu lama ditetapkan bagi pasukan ini memberikan dapatan berdasarkan kajian yang dibuat.

Iklan
Iklan

"Tempoh masa itu tidak boleh terlalu panjang supaya ia relevan dengan situasi persekitaran ekonomi semasa yang sentiasa berubah dengan mendadak. Apatah lagi peningkatan kos sara hidup yang begitu ketara ketika ini dan semua pihak terkesan dengan bebanan kos tersebut.

"Cuepacs juga bersedia untuk bersama-sama dengan pasukan ini bagi memberikan pandangan yang wajar daripada sudut pandang warga pekerja. Ia bagi memastikan syor yang dikemukakan nanti diterima oleh penjawat awam yang merupakan penerima manfaat,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, sebelum ini, Cuepacs telah mencadangkan bahawa kesesuaian gaji minimum perkhidmatan awam ialah RM1,800 dalam menjamin kehidupan golongan penjawat awam supaya dapat menjalani kehidupan dalam keadaan sedikit selesa dengan kenaikan kos sara hidup.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam di seluruh negara, dengan perbincangan mengenainya dibawa ke dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.

Iklan

Adnan memaklumkan, antara cadangan Cuepacs bagi skim baharu gaji perkhidmatan awam adalah kenaikan gaji tahunan yang perlu ditambah baik ke RM180, kenaikan pangkat Jawatan Khas Untuk Penyandang (KUP) pertama 10 tahun dan KUP kedua, lapan tahun serta gred minimum perkhidmatan awam bermula gred 19.

Selain itu, peningkatan gred untuk Skim Perkhidmatan Pembantu Tadbir (PTPO) dan Pembantu Tadbir Kewangan ke Gred 29, sistem saraan perlu dikaji setiap lima tahun, peningkatan elaun bantuan sara hidup (COLA), menambah Imbuhan Tetap Perumahan kepada RM450 serta memperkenalkan elaun bandar raya sebanyak RM500. - Bernama