Wan Saiful tidak perlu jaga tepi kain orang - Anthony

Iklan
Anthony

GEORGETOWN - Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dinasihatkan supaya tidak menjaga tepi kain orang sebaliknya menumpukan kepada urusan partinya sendiri.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Wan Saiful tidak sepatutnya mencampuri urusan DAP terutamanya dalam soal calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Iklan
Iklan

"Wan Saiful itu... Setiausaha Agung DAP ke? Saya tanya adakah dia Setiausaha Agung DAP, dia boleh tentukan calon kita?

"Saya rasa tidak payah lah nak jaga tepi kain orang, dia sibuk dia punya hal sendiri," katanya selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Railway Assets Corp dan ThinkCity di sini pada Sabtu.

Iklan

Anthony berkata demikian ketika mengulas mengenai satu klip video yang dimuat naik Wan Saiful di Facebook beliau yang mendakwa terdapat khabar angin bahawa Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang dalam PRN ini.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di enam negeri diadakan serentak pada 12 Ogos ini sebagai hari pengundian manakala 29 Julai sebagai hari penamaan calon.

Iklan

Sementara itu, hari pengundian awal ialah pada 8 Ogos ini.

Selain Pulau Pinang, lima negeri yang akan mengadakan PRN adalah Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan pada Pilihan Raya Umum 2018, PH telah memenangi 37 kerusi, ketika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan.