Lat sifatkan Anugerah Seniman Diraja satu penghormatan

Iklan
Sultan Nazrin Shah (kanan) berkenan melawat Galeri Rumah Lat selepas perasmian hari ini. Turut kelihatan, Lat atau nama sebenarnya Datuk Mohd Nor Khalid (kiri). Foto Bernama

BATU GAJAH - Dianugerahkan gelaran Seniman Diraja serentak dengan perasmian Galeri Rumah Lat oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini, adalah antara detik paling bermakna dalam hidup kartunis tersohor negara Datuk Mohd Nor Khalid, 72, atau lebih dikenali dengan nama Lat.

Lat berkata, anugerah tersebut merupakan penghargaan tinggi dalam memartabatkan penggiat seni, pelukis, kartunis kerana karya mereka turut diiktiraf oleh pihak istana.

Iklan
Iklan

Terdahulu, Sultan Nazrin semasa merasmikan galeri itu turut berkenan menganugerahkan Lat sebagai Seniman Diraja.

Sultan Nazrin bertitah, anugerah itu sebagai mengiktiraf peranan dan sumbangan besar oleh seniman agung itu memperkenalkan Malaysia di pentas antarabangsa dan mengharumkan nama negara.

Iklan

Sementara itu, Lat berkongsi keterujaan apabila hasratnya untuk membuka galeri bagi menempatkan kesemua hasil karya seninya sejak 1962 akhirnya terlaksana.

Katanya, lokasi rumah dan galeri berkenaan di kawasan Silverlakes Premium Outlet di Batu Gajah sangat strategik dan akan menjadi pusat tarikan baharu kepada pengunjung.

Iklan

"Alhamdulillah akhirnya hasrat untuk membuka Galeri Rumah Lat berhasil untuk saya tempatkan kesemua hasil karya seni sepanjang tempoh karier saya sejak dari tahun 1962.

"Saya rakamkan jutaan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat membangunkan Galeri Rumah Lat bagi memastikan sumbangan para pelukis komik dan kartunis dihargai," katanya.

Lat berkata, Galeri Rumah Lat juga turut mempromosikan kebudayaan masyarakat Malaysia secara amnya dan kehidupan masyarakat Melayu Perak khususnya.

"Replika rumah 'Kampung Boy' yang dibina di sini memang mengikut rekaan asal rumah keluarga saya di Kampung Lalang dan ia membawa banyak makna tersirat.

"Kehidupan 'Kampung Boy' itu sahaja menggambarkan perlunya mendidik anak bangsa dan generasi muda masa kini tentang adat serta masyarakat majmuk yang hidup aman damai walaupun berbeza agama serta kepercayaan," katanya.

Katanya pembukaan Galeri Rumah Lat itu akan menjadi tempat untuknya untuk terus berkarya selain mahu memastikan apa yang diperjuangkannya dahulu akan terus terpelihara.

"Apa yang saya ingin sampaikan adalah kita kena ingat setinggi mana pun pencapaian kita suatu hari nanti, janganlah kita lupa akan asal usul kita.

"Asal saya orang kampung, maka saya bawa nama 'Kampung Boy' ke peringkat antarabangsa dan kini masyarakat luar sudah mengenali adat budaya kita melalui kisah yang dipaparkan dalam 'Kampung Boy'," katanya. - Bernama