TAMPIN - Seorang kanak-kanak perempuan maut selepas basikal yang ditungganginya dipercayai melanggar tayar belakang sebuah lori sampah di Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah, di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu mangsa yang berusia tujuh tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah.
"Siasatan awal mendapati, lori sampah yang dipandu lelaki berusia 55 tahun itu sedang menjalankan tugas mengutip sampah di kawasan berkenaan.
"Kemalangan berlaku semasa pemandu lori sedang memasuki selekoh untuk mengutip sampah, tiba-tiba mangsa yang sedang menunggang basikal keluar dari rumahnya dan telah langgar tayar belakang lori itu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, pemandu lori kemudian turun untuk periksa dan mendapati penunggang basikal tersebut berada di bawah tayar belakang lori.
"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin bagi mengetahui punca kematian.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan terbabit diminta untuk tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Tampin di talian 064412502 atau 064431999.
"Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan,” katanya.