Erdogan harap perjanjian bijirin akan dilanjutkan

Iklan
Erdogan dan Zelenskyy telah mengadakan perbincangan selama kira-kira dua jam, di Vahdettin Mansion di Istanbul pada Jumaat. Foto AFP

ISTANBUL - Turkiye menjangkakan Inisiatif Bijian Laut Hitam atau perjanjian bijirin, akan dilanjutkan, kata presidennya, Recep Tayyip Erdogan selepas perbincangan bersama rakan sejawatannya dari Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, lapor Sputnik.

Erdogan dan Zelenskyy telah mengadakan perbincangan selama kira-kira dua jam, di Vahdettin Mansion di Istanbul pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Bercakap pada sidang akhbar selepas itu, Erdogan berharap perjanjian bijirin yang dimuktamadkan pada Julai 2022 di Istanbul akan dapat dilanjutkan.

Beliau turut dijangka mengadakan perbincangan mengenai perjanjian bijirin itu dengan Presiden Rusia Vladimir Putin, sama ada melalui telefon atau secara bersemuka.

Iklan

Putin dijangka mengadakan lawatan ke Turkiye pada Ogos.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov pada Jumaat berkata beliau tidak menolak kemungkinan pertemuan antara Putin dan Erdogan dalam masa terdekat.

Iklan

Sementara itu, Zelenskyy memberitahu pemberita bahawa koridor baharu bijirin yang berbeza perlu dilaksanakan dan untuk itu, Turkiye dipelawa ke"sidang kemuncak keamanan global" yang sedang diusahakan oleh Ukraine.

Pada 22 Julai 2022, Rusia, Ukraine, Turkiye dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mencapai persetujuan untuk menyediakan koridor maritim kemanusiaan bagi membolehkan kapal dengan muatan makanan dan baja dieksport dari pelabuhan Laut Hitam Ukraine.

Moscow pada dasarnya bersetuju untuk melanjutkan perjanjian itu yang dijangkakan tamat pada pertengahan Julai, tetapi mendakwa beberapa komponen dalam memorandum berkenaan belum dilaksanakan sepenuhnya.

Pada 7 Jun, Kementerian Pertahanan Rusia berkata, kumpulan pensabotaj Ukraine telah meletupkan saluran paip ammonia Tolyatti-Odesa di Wilayah Kharkiv.

Peskov berkata, insiden letupan itu dilihat akan merumitkan kesepakatan untuk melanjutkan perjanjian berkenaan.

Awal minggu ini, Timbalan Menteri Luar Rusia Sergey Vershinin berkata Rusia percaya perjanjian bijirin itu akan tamat pada 18 Julai. - Bernama