SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan adalah tidak munasabah dakwaan tiada elemen rasuah ditemukan dalam isu wanita China yang dikaitkan dengan kekecohan di balai ketibaan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.
Ketuanya, Tan Sri Azam Baki berkata, ini kerana pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap isu berkenaan.
"SPRM baru jalankan siasatan dalam lima hingga enam hari, jadi munasabahkah dalam tempoh ini kita boleh menyelesaikannya (siasatan)?" katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Azam berkata, semua pihak termasuk pengamal media perlu berhati-hatilah dalam membuat kenyataan walaupun merujuk sumber.
Dalam pada itu, beliau berkata, SPRM telah memanggil syarikat yang dilantik untuk menguruskan warga asing yang dikenakan Notis Tolak Kemasukan (NTL).
"Ya, kita telah panggil pihak syarikat dan saksi berkaitan untuk bantu siasatan," ujarnya.
Mengenai individu yang dipercayai menjadi ejen membawa masuk warga China semasa insiden kekecohan terbabit, Azam berkata, usaha mengesannya masih dijalankan.
Rabu lalu, SPRM sudah mengambil keterangan 14 individu berhubung dakwaan terdapat elemen rasuah dalam kalangan pegawai dan anggota Jabatan Imigresen (JIM) di pintu masuk negara.
Individu tersebut termasuk menteri yang berkenaan selain lapan kakitangan JIM serta dua wanita warga China.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan SPRM menyiasat dakwaan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkaitan kewujudan isu rasuah di balai ketibaan KLIA.
Ia susulan satu kejadian yang tular di media sosial membabitkan King Sing yang dikatakan menceroboh masuk ke balai ketibaan KLIA bagi melepaskan seorang pelawat China yang ditahan JIM.